suria

Beruang Kutub Di Zoo Argentina Tidak Akan Dipindahkan Ke Kanada

MENDOZA (Argentina): Beruang kutub yang dikatakan tertekan di Argentina tidak akan dipindahkan ke Kanada, selepas beberapa orang pakar veterinar berkata perjalanannya terlalu membahayakan kesihatannya.

Nasib Arturo, beruang berusia 29 tahun dengan berat 400 kilogram telah menjadi bualan dan kontroversi apabila pencinta alam sekitar dan pelawat zoo mempersoalkan keadaan hidup haiwan ini.

Arturo, seekor beruang jantan merupakan beruang kutub terakhir yang terdapat dalam kurungan di Argentina dan pengkritik bimbang, suhu, terutamanya pada musim panas yang mencapai antara 35 dan 40 darjah Celsius tidak sihat untuk haiwan yang biasanya ditemui di kawasan iklim Artik ini.

Pencinta alam sekitar mengumpulkan 160,000 tandatangan dalam kempen untuk memindahkan Arturo ke Kanada dengan segera, kawasan yang mempunyai cuaca yang lebih hampir dengan habitat semulajadinya.

Sebuah zoo di Winnipeg, Kanada, telah menawarkan untuk memeliharanya dan bercadang untuk membayar perbelanjaan pengangkutan sejauh 15,000 kilometer.

Tetapi selepas pakar dari Argentina, Kanada, Chile dan Uruguay mempertimbangkan kes itu, mereka membuat keputusan adalah lebih baik mengekalkan Arturo di Argentina yang menjadi tempat tinggalnya sejak 20 tahun lalu.

Mereka berkata perjalanan itu adalah berisiko kerana ia memakan masa selama 24 hingga 48 jam.

"Ini adalah seekor haiwan yang berusia 29 tahun dan telah melebihi jangka hayat biasa 21 tahun," kata pengarah zoo swasta terkenal di Argentina, Temaiken, Eduardo Francisco.

Pakar mengatakan Arturo juga amat sedih dengan kematian pasangannya selama dua dekad, Pelusa pada Mei 2012, pada usia 30.

Pasangan ini mampu melahirkan beberapa ekor anak, tetapi tidak dapat diselamatkan.

Sebagai maskot di zoo ini, Arturo mendiami kawasan berhawa dingin seluas 35 meter persegi dengan kawasan pantai dan kolam renang seluas 500 meter persegi di mana penjaga membuang blok-blok ais untuk memastikan ia sejuk.

Artikel Lain