suria

Yemen Berhasrat Tukar Negara Itu Menjadi Sebuah Persekutuan

SANAA: Presiden Yemen, Abdrabuh Mansur Hadi telah menyerahkan satu tugasan kepada sebuah jawatankuasa khas untuk melihat kebarangkalian menukar negara itu menjadi sebuah persekutuan.

Ini adalah sebahagian daripada proses penyatuan di antara pihak pemerintah dengan puak-puak yang bertentangan yang sebelum ini mencetuskan krisis dan perbalahan sesama sendiri.

Jawatankuasa khas itu yang akan dipengerusikan oleh Abdrabuh sendiri akan mencadangkan agar Yemen dibahagikan sama ada menjadi dua hingga enam wilayah.

Dialog yang dianjurkan oleh Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu dengan kumpulan yang berbeza fahaman di Yemen itu pada asasnya bersetuju agar mereka membentuk sebuah persekutuan.

Bentuk persekutuan itu nanti akan dijadikan sebahagian daripada perlembagaan baru negara.

Di bawah cadangan itu, dua wilayah baru akan dibentuk di Selatan Yemen manakala empat lagi wilayah di Utara Yemen.

Penduduk di Selatan Yemen sebelum ini telah menolak cadangan sebuah persekutuan dengan enam wilayah.

Selatan Yemen sebelum ini adalah sebuah negara yang merdeka dari kolonial British pada tahun 1967. Mereka hanya bergabung dengan Yemen Utara pada tahun 1990.

Artikel Lain