suria

Vietnam Jatuh Hukuman Mati Ke Atas 30 Pengedar Dadah

HANOI: Mahkamah Vietnam pada Isnin menjatuhkan hukuman mati ke atas 30 orang pengedah dadah dalam kes perbicaraan narkotik terbesar yang pernah disaksikan oleh negara komunis itu.

Kes perbicaraan itu melibatkan rampasan dadah terbesar dalam sejarah negara tersebut iaitu sebanyak dua tan.

Kesemua 30 orang yang dikenakan hukuman mati itu turut terdiri daripada wanita - kesemuanya warga Vietnam manakala 59 orang lagi dijatuhi hukuman penjara ada di antaranya seumur hidup.

"Ini adalah kes perbicaraan narkotik yang terbesar pernah disaksikan oleh negara ini termasuklah jumlah mereka yang didakwa, jumlah mereka yang dikenakan hukuman mati dan juga jumlah dadah yang dirampas," ujar hakim Ngo Duc sebagaimana yang dipetik oleh agensi berita antarabangsa, AFP.

Perbicaraan tersebut berlangsung di wilayah Quang Ninh yang bersempadan dengan Republik Rakyat China.

Dan oleh kerana perbicaraan ini melibatkan begitu banyak defenden, ia terpaksa diadakan di dalam penjara.

Pihak pendakwaraya mendakwa mereka yang dituduh merupakan anggota empat sindiket haram yang beroperasi membawa masuk bekalan dadah menerusi sempadan Laos ke dalam Vietnam dan China sejak 2006.

Polis berjaya mematahkan aktiviti penyeludupan heroin dan lain-lain jenis dadah dari kawasan sempadan pada Ogos tahun lalu.

Pihak berkuasa juga berjaya menyita 20 buah kereta mewah berpuluh-puluh senjata ketika serbuan dibuat.

Kerajaan Vietnam mempunyai salah satu undang-undang pencegahan penyeludupan dadah yang paling ketat di dunia.

Mana-mana pihak didapati bersalah memiliki atau mengedar lebih 600 grams heroin atau lebih dari 20 kilo candu, boleh berhadapan dengan hukuman mati.

Wilayah "Segi Tiga Emas" yang merangkumi Thailand, Vietnam dan Myanmar suatu ketika dahulu dikenali sebagai kawasan penyeludupan candu dan heroin terbesar dunia tetapi kini gelaran tersebut telah diambil alih oleh Afghanistan.

Artikel Lain