suria

Bekas PM Israel Ariel Sharon Kini Tenat

Ariel Sharon
Ariel Sharon
Ariel Sharon

TEL AVIV: Bekas Perdana Menteri Israel, Ariel Sharon kini dilaporkan tenat ekoran kegagalan beberapa organ dalamannya daripada berfungsi dengan sempurna.

Sharon berada di dalam keadaan separa koma sejak lapan tahun yang lalu.

"Tetapi sejak beberapa hari yang lalu, keadaan kesihatannya kembali menurun dan ini menjejaskan beberapa organ dalamannya," kata Pengarah Hospital Tel Hashomer, Zeev Rotstein kepada Radio Israel.

Bekas pemimpin berusia 85 tahun itu telah mengalami kegagalan buah pinggang sejak Rabu sebaik sahaja selesai menjalani pembedahan.

Sharon pertama kali jatuh sakit pada Januari 2006, apabila dia diserang angin ahmar yang kemudian menyebabkannya berada dalam keadaan koma.

Sharon terpilih sebagai perdana menteri pada Februari 2001 atas tiket parti berhaluan kanan iaitu Parti Likud.

Kemudian pada November 2005, dia meninggalkan Parti Likud untuk membentuk sebuah parti baru yang dinamakan Kadima, ekoran kekecewaannya dengan tentangan anggota parti ke atas keputusannya untuk mengundurkan bala tentera dari Gaza dan menghentikan pembinaan petempatan baru di Tebing Barat yang diduduki Israel.

Sharon menaruh keyakinan yang mendalam bahawa keamanan hanya dapat dicapai dengan memisahkan Israel daripada Palestin.

Dilahirkan di Palestin pada 27 Februari 1928 daripada keluarga imigran Belarus, Sharon menyertai angkatan tentera Israel sebelum berkecimpung dalam politik.

Dia sangat dibenci oleh Hamas yang mengeluarkan kenyataan keras bahawa Timur Tengah akan menjadi lebih aman tanpa kelibat Sharon sebaik sahaja dia diserang strok pada 2006.

Sharon juga akan dikenang sebagai "Penyembelih Beirut" apabila ketika era pemerintahannyalah berlakunya pembunuhan beramai-ramai di kem pelarian Sabra dan Shatila oleh militia Lebanon sambil disaksikan oleh pasukan tentera Israel tanpa melakukan apa-apa untuk menghentikan tindakan terkutuk itu. dms/jad/bpz

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain