suria

Lebih Banyak Tunjuk Perasaan Dijangka Berlaku Di Bangkok

BANGKOK: Rang Undang-Undang Pengampunan, yang dilulus pada Jumaat selepas perdebatan panjang selama 19 jam, sepatutnya membawa rekonsiliasi nasional dan langkah pengampunan di Thailand, namun perkara itu dikhuatiri tidak akan berlaku kerana pembangkang sudah bersiap sedia untuk mempertingkat bantahan mereka.

Sebaliknya, Isnin bakal menyaksikan lebih banyak tekanan daripada pembangkang yang berikrar membawa perjuangan mereka ke jalanan dan Mahkamah Perlembagaan.

Penyokong pembangkang, yang berkumpul di stesen Samsen tidak jauh dari Bangunan Parlimen, kelihatan bersiap sedia untuk mengadakan tunjuk perasaan yang mungkin memakan masa beberapa minggu atau bulan.

Mereka sudah menyiapkan sebuah tapak perkhemahan besar yang lengkap dengan pelbagai kemudahan seperti memasak di kawasan itu.

Undang-Undang Pengampunan itu, yang disaran Anggota Parlimen Parti Pheu Thai, menyediakan pengampunan bagi semua pertuduhan berkaitan politik termasuk rampasan kuasa yang menggulingkan kerajaan Thaksin Shinawatra.

Meskipun anggota serta penyokong parti kerajaan mendapat manfaat, kemungkinan Thaksin kembali ke negara itu merupakan alasan utama kumpulan pembangkang membantah manakala sesetengah anggota prokerajaan Baju Merah juga dilihat enggan menyokong undang-undnag berkenaan kerana beberapa pemimpin pembangkang seperti bekas Perdana Menteri Abhisit Vejjajiva akan turut mendapat imuniti daripada pendakwaan.

Pada Sabtu, Abhisit yang juga pemimpin Parti Demokrat, berkata rang undang-undang itu tidak sah dan pihaknya akan memfailkan petisyen di Mahkamah Perlembagaan untuk tafsiran perundangan. - BERNAMA

Artikel Lain