suria

BII Mumbai Maybank Akan Manfaatkan Hubungan Perniagaan India-Asean

MUMBAI: Bank Internasional Indonesia (BII), ahli kepada Maybank Group, berharap dapat memanfaatkan aliran perdagangan dan pelaburan yang kian meningkat di antara India dan Asean serta China menerusi cawangan pertamanya di sini.

Cawangan itu akan membantu menyokong pelanggan Asean kumpulan memasuki India serta membina perniagaan tempatan dengan rakan niaga di India.

"Kemasukan BII di sini ialah langkah penting dalam menyokong matlamat Maybank menjadi peneraju perkhidmatan kewangan serantau menjelang 2015," kata residen/ketua pegawai eksekutif Maybank Group, Datuk Abdul Farid Alias.

BII Mumbai berhasrat menjadi bank kewangan perdagangan terbesar, terutamanya dalam industri minyak sawit dan arang batu termal dan pada masa sama menguasai tukaran asing dan aliran pengiriman wang di antara India dan rangkaian kumpulan selebihnya, kata beliau.

"Terdapatnya potensi meluas di sini untuk kumpulan di celah-celah aliran perdagangan pesat di antara India dan Asean yang berjumlah US$76 bilion dalam tahun kewangan 2012/13 (FY12/13) berbanding US$21 bilion lima tahun lepas," kata beliau pada majlis pelancaran cawangan di Indiabulls Centre di sini Isnin.

Turut hadir ialah bakal Pengarah Presiden BII, Taswin Zakaria, Pengarah Perbankan Global BII, Frans Rahardja Alimhamzah dan Ketua Pegawai Eksekutif BII India, Pravin Batra.

Aliran perdagangan di antara India dan Asean dijangka mencecah US$100 bilion pada 2015 dan US$200 bilion menjelang 2022.

"Selain daripada itu, kami melihat peluang menguasai aliran perdagangan di antara India dan China dan kami mempunyai tiga cawangan di Beijing, Shanghai dan Hong Kong," kata Abdul Farid.

Aliran perdagangan India-China bernilai US$66 bilion dalam tahun kewangan 2012/13.

"Kami juga ada kelebihan kerana mempunyai satu lagi anak syarikat, Kim Eng Securities India di sini dan matlamat kami ialah untuk bekerjasama dengan mereka menawarkan pusat sehenti yang selesa untuk para pelanggan Maybank Group," kata beliau.

BII Mumbai, dengan asas pendapatan US$28 juta, membuka perniagaannya pada Julai tahun ini dan mempunyai 18 kakitangan.

BII beribu-pejabat di Indonesia sementara Maybank Malaysia ialah bank keempat terbesar di Asia Tenggara berdasarkan aset dan menduduki di kalangan 20 bank terkemuka dunia oleh Bloomberg Markets.

Maybank Group telah bertapak di kesemua 10 negara Asean.

Kumpulan itu menawarkan saling hubung global menerusi pejabatnya di London, New York dan Bahrain serta menerusi platform Maybank Kim-Eng meliputi Asia Utara dan Selatan serta sebagai hab perkhidmatan kewangan utama. - BERNAMA

Artikel Lain