suria

Bangkok Perluas ISA Tangani Penunjuk Perasaan Anti Kerajaan

BANGKOK: Kerajaan Thai memperluaskan penguatkuasaan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) di beberapa tempat di tiga daerah di Bangkok berkuat kuasa dari 19 Oktober sehingga 30 November memandangkan bantahan oleh kumpulan Tentera Rakyat Menentang Rejim Thaksin berhampiran Rumah Kerajaan dijangka berterusan.

"Jelas bahawa penunjuk perasaan akan kembali ke Rumah Kerajaan disebabkan pemimpin mereka telah memaklumkan kepada mereka tentang perhimpunan itu," kata Ketua Majlis Keselamatan Negara Paradorn Pattanatabut kepada pemberita selepas mesyuarat Kabinet dipengerusikan Perdana Menteri Yingluck Shinawatra di sini, Jumaat.

Beliau berkata ISA dilanjutkan sehingga akhir November bagi meliputi sesi parlimen yang tamat pada 29 November dan banyak undang-undang penting akan dibahaskan semasa sesi berkenaan.

Mahkamah Keadilan Antarabangsa akan turut menyampaikan keputusannya dalam kes pertikaian sempadan antara Thailand dan Kemboja berhubung kuil Preah Vihear pada 11 November.

Memandangkan kesemua insiden itu bersangkut-paut, beliau berkata ISA memerlukan tempoh lebih panjang.

Beliau berkata ISA tidak akan diperluaskan ke kawasan persimpangan Urupong yang ketika ini menjadi lokasi bantahan. -BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain