suria

Tiga Guru Mati Dalam Letupan Bom Di Selatan Thai

NARATHIWAT: Dua guru wanita beragama Islam dan seorang guru lelaki beragama Buddha maut apabila sebutir bom meletup di depan Hospital Daerah Chanet pada Rabu.

Kejadian pada 9.07 pagi itu turut menyaksikan dua daripada tujuh anggota polis yang mengiringi guru berkenaan ke sebuah sekolah, cedera.

Ketua Polis wilayah Narathiwat, Mejar Jeneral Wichai Kasemwong berkata, bom seberat 12 kilogram itu diisi dalam kotak besi dan diletak di tepi jalan di depan hospital berkenaan sebelum diaktif menggunakan telefon bimbit.

Beliau berkata, mangsa dikenali sebagai Najihah Yira, 38, Nurjihan Awae, 44, dan Apichat Benjulamart, 33.

Sementara itu, Arong, seorang pemilik kedai kopi di Kampung Lubuk Datok, Mukim Lubuk Besar di sini tidak bersemangat untuk bekerja selepas kejadian tembakan di kedainya pada Selasa yang menyebabkan dua mati dan seorang cedera.

Menceritakan insiden yang berlaku pada 7.40 malam itu, Arong berkata beliau membuka kedai untuk menjual minuman selepas berbuka puasa.

Beliau berkata ketika kejadian, beberapa penduduk beragama Islam mengunjungi kedainya untuk minum teh sebelum menunaikan sola Isyak dan Tarawih di masjid berhampiran yang hanya terletak 100 meter dari situ.

"Saya berdiri menjual teh. Mula-mula ingatkan kanak-kanak bermain bedil, tetapi apabila bunyi tembakan berterusan, sayapun meniarap," katanya kepada Bernama.

Mangsa yang maut dikenali sebagai Awae Niksayu, 58, dan Tuanmaseng Mong ,42.

Wichai Kasemwong berkata, dalam kejadian itu, seorang penunggang motosikal dan pemboncengnya melepaskan tembakan menggunakan senjata AK47 ke arah orang kampung yang sedang minum di kedai Arong.

Beliau berkata kejadian itu masih disiasat, iaitu sama ada ia berkaitan hal peribadi atau mempunyai hubung kait dengan situasi di Selatan Thai ketika ini.

Tempoh 15 hari dalam bulan Ramadan ini menyaksikan 32 insiden membabitkan 27 kes tembak dan lima pengeboman yang meragut nyawa 22 orang serta mencederakan 28 yang lain. - BERNAMA

Artikel Lain