suria

5,000 Maut Setiap Bulan Akibat Perang di Syria - PBB

NEW YORK: Seramai 5,000 maut setiap bulan akibat perang di Syria yang dikategorikan Pertubuhan Bangsa-Bangsa (PBB) sebagai terburuk dalam krisis pelarian sejak tragedi pembunuhan di Rwanda pada 1994.

Sehubungan itu pegawai tertinggi PBB menggesa Majlis Keselamatan mengambil tindakan lebih tegas untuk menangani konflik Syria yang berlanjutan selama dua tahun itu yang sudah mengorbankan lebih 100,000 nyawa.

"Kadar pembunuhan paling tinggi setakat ini yang dianggarkan 5,000 sebulan, jelas menterjemahkan bagaimana teruknya konflik berkenaan," kata Penolong Setiausaha Agung PBB bagi Hak Asasi Manusia, Ivan Simonovic.

"Di Syria hari ini, jelas berlakunya penyalah gunaan hak asasi manusia, jenayah perang dan jenayah terhadap kemanusiaan," katanya.

Hampir 1.8 juta pelarian kini berdaftar dengan PBB oleh negara di sekeliling Syria dengan purata 6,000 orang menjadi pelarian, kata Pesuruhjaya Tinggi PBB bagi Pelarian, Antonio Guterres.

"Kami tidak pernah saksikan pelarian sebegini ramai dan jumlahnya amat menakutkan sejak tragedi Rwanda yang berlaku hampir 20 tahun lalu,” kata Guterres.

Lebih dua juta penduduk Rwanda menjadi pelarian pada 1994 apabila puak radikal Hutus melakukan pembunuhan kejam terhadap 800,000 etnik Tutsis dan golongan menengah Hutus hanya dalam masa kira-kira tiga bulan. - AFP

Artikel Lain