suria

18 Maut, 34 Cedera Dalam Rusuhan Antara Penyokong Ahli Tinju di Papua

JAKARTA: Tragedi berdarah berlaku dalam pertandingan akhir tinju amatur Bupati Cup (Piala Pegawai Daerah) di Nabire, Papua pada malam Ahad, apabila sejumlah 18 orang maut dan 34 yang lain cedera berikutan rusuhan antara penyokong ahli tinju dari kedua-dua belah pihak.

Rusuhan itu bermula dengan kejadian saling ejek mengejek antara penyokong kedua-dua peserta tinju, serta perbuatan melempar objek oleh beberapa penonton mabuk ke tengah kumpulan para penyokong itu.

Jurucakap polis Nabire berkata mereka yang meninggal dunia dalam kejadian itu terdiri daripada 11 wanita dan tujuh lelaki.

Insiden itu berlaku pada pertandingan akhir kejuaraan tinju amatur Bupati Cup antara Alvius Rumkorem dari Sasana Persada dan Yulianus Pigome dari Sasana Mawa, di Kompleks Sukan Kota Lama Nabire.

Kesudahan pertandingan itu menyaksikan Alvius muncul juara dengan kiraan mata, namun penyokong Yulianus memprotes terhadap keputusan itu sehingga timbul kejadian ejek mengejek serta perbuatan lempar kerusi. Kekacauan kemudian berlaku sehingga memaksa kira-kira 1,000 penonton dalam kompleks sukan itu berebut untuk keluar dengan cara tolak menolak antara satu sama lain, sehingga ada yang terkorban nyawa dan ada yang cedera.

Lebih 1,500 penonton menyaksikan pertandingan akhir tinju itu malam tadi sedangkan stadium yang menjadi gelanggang pertandingan itu hanya mampu menampung antara 800 hingga 900 penonton.

Stadium Kota Lama Nabire itu hanya mempunyai satu pintu keluar dan masuk. -BERNAMA

Artikel Lain