suria

Angka Kematian Gempa Bumi Aceh Meningkat Kepada 30 Orang

JAKARTA: Angka kematian bencana gempa bumi Aceh yang berkekuatan 6.2 pada skala Richter terus meningkat dan sehingga tengah hari, Badan Nasional Pengurusan Bencana (BNPB) Indonesia melaporkan jumlah korban nyawa ialah 30 orang manakala 12 lagi dilaporkan hilang.

Bilangan mangsa yang cedera meningkat kepada 275 orang dan mereka dirawat di hospital daerah serta pusat kesihatan masyarakat tempatan.

Jurucakap BNPB, Sutopu Purwo Nugroho berkata, bilangan mangsa paling ramai maut dalam kejadian itu ialah dari daerah Aceh Tengah iaitu seramai 18 orang sementara 12 yang dilaporkan hilang juga dari daerah sama.

Di daerah Bener Meriah, 12 orang terkorban.

"Penanganan darurat gempa bumi di Bener Meriah dan Aceh Tengah terus dilakukan. Fokus utama pada hari ketiga ialah meneruskan operasi mencari dan menyelamat, memberi perkhidmatan kesihatan dan penyediaan keperluan asas kepada mangsa yang ditempatkan di pusat pemindahan," katanya di sini, Khamis.

Kesemua mangsa yang mati sudah dikenal pasti, dan kebanyakan mereka ialah kanak-kanak dan warga emas yang maut akibat ditimpa runtuhan bangunan.

Gempa bumi pada 2.37 petang Selasa lepas waktu tempatan yang berpusat di 35 kilometer barat daya daerah Bener Meriah itu diikuti dua gempa susulan di tempat sama pada sebelah malam bermagnitud 5.5 dan 5.3 pada skala Richter.

Sejak petang Selasa hingga tengah hari Rabu, BNPB berkata, sebanyak 16 gempa susulan berlaku di kawasan Bener Meriah. - BERNAMA

Artikel Lain