suria

Dua Kapal Berlanggar Di Singapura, 100 Metrik Tan Minyak Tumpah

SINGAPURA: Kira-kira 100 metrik minyak tumpah ke laut apabila dua buah kapal kargo berlanggar kira-kira 6.6km di barat daya terminal feri Tanah Merah di sini.

Pihak Berkuasa Maritim dan Pelabuhan Singapura (MPA) menerima laporan kejadian itu 5.30 pagi ini.

MPA berkata kejadian itu menyebabkan satu daripada tangki kapal Oriental Pioneer yang berdaftar di Korea Selatan itu rosak dan kira-kira 100 metrik tan minyak bahan bakarnya tumpah.

Sebaik dimaklumkan, MPA menghantar kapal peronda untuk menangani tumpahan minyak itu.

Syarikat respons tumpahan minyak juga diaktifkan bagi menambah kapal peronda dengan 10 kapal peronda dan antipencemaran digerakkan bagi membersihkan tumpahan itu.

Kerja-kerja pembersihan masih berterusan dan MPA sedang menyelaras pembersihan itu dengan kerjasama agensi-agensi kerajaan dan pemilik-pemilik kapal.

Kedua-dua kapal yang terbabit dalam insiden itu kini berlabuh dengan selamat.

MPA telah mengeluarkan hebahan kepada kapal-kapal supaya belayar dengan berhati-hati berdekatan kawasan insiden itu.

Tiada laporan kecederaan manakala operasi pelabuhan berjalan lancar dengan trafik di pelabuhan dan Selat Singapura tidak terjejas. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain