suria

30,000 Pekerja Indonesia Tanpa Izin Daftar Amnesti Di Arab Saudi

JAKARTA: Kira-kira 30,000 tenaga kerja Indonesia tanpa izin di Arab Saudi telah mendaftar di pejabat Konsulat Jeneral Indonesia (KJRI) di Jeddah untuk mendapatkan amnesti yang ditawarkan pihak berkuasa negara itu, yang akan berakhir awal bulan depan.

Mereka memohon dokumen rasmi dari pejabat konsulat jeneral itu bagi permohonan mendapatkan amnesti daripada Arab Saudi.

Kerajaan Arab Saudi sebelum ini memberi peringatan kepada pekerja asing tanpa izin bahawa mereka menghadapi risiko hukuman penjara dan denda setelah tempoh tawaran amnesti selama tiga bulan itu tamat pada 3 Julai ini.

Badan Nasional Penempatan dan Perlindungan Tenaga Kerja Indonesia (BNP2TKI) dalam kenyataannnya pada Rabu, memetik jurucakap KJRI Jeddah, Nur Ibrahim sebagai berkata, bahawa angka itu dijangka terus meningkat menjelang tempoh amnesti itu tamat.

Untuk menampung permintaan yang semakin meningkat itu, KJRI akan membuka kaunter layanan pada Khamis walaupun ia hari cuti mingguan di Arab Saudi, kata beliau kepada BBC Indonesia.

Arab Saudi mengumumkan pemberian amnesti kepada pekerja asing tanpa izin pada April, namun pelaksanaannya pada Mei. - BERNAMA

Artikel Berikut

Artikel Lain