suria

Kerajaan Kenakan Duti Anti Lambakan Sementara Terhadap Import BOPP

KUALA LUMPUR: Kerajaan mengenakan langkah duti anti lambakan sementara berhubung import polipropilena berorientasi dwi paksi (BOPP) yang berasal atau dieksport dari Taiwan, Thailand, China, Indonesia dan Vietnam.

Langkah yang baru itu dalam bentuk duti anti lambakan sementara dijamin oleh bersamaan cagaran dengan amaun margin lambakan yang ditentukan melalui penyiasatan permulaan.

Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI), dalam satu kenyataan di sini berkata duti anti lambakan sementara itu daripada 6.87 peratus hingga 21.43 peratus, akan dikenakan terhadap import dari negara-negara yang dikatakan itu dan berkuat kuasa tidak lebih 120 hari dari tarikh warta kerajaan.

Keputusan diambil hasil siasatan awal terhadap import BOPP yang dikatakan pada harga yang lebih rendah dari pasaran domestik.

Kerajaan menyelesaikan penyiasatan awal sebagaimana yang diperuntukkan di bawah Seksyen 23 Akta Duti Timbal Balas dan Anti-Lambakan 1993.

MITI berkata kerajaan mendapat bukti yang mencukupi untuk meneruskan lagi siasatan terhadap import BOPP dari negara-negara yang dikatakan itu.

Penentuan akhir akan dibuat berdasarkan hasil daripada lawatan pengesahan ke premis pengeluar asing tidak lewat daripada 120 hari dari tarikh notis laporan penentuan awal.

Pihak yang berkepentingan (pengimport, pengeluar/pengeksport asing dan persatuan berkaitan dengan penyiasatan itu) boleh mengakses kepada versi tidak sulit laporan awam mengenai penentuan awal dengan mengemukakan permohonan bertulis kepada Pengarah, Seksyen Amalan Perdagangan MITI.

Pada 27 Julai, kerajaan memulakan siasatan anti lambakan berdasarkan petisyen yang difailkan oleh San Miguel Yamamura Plastic Films Sdn Bhd bagi pihak industri domestik menghasilkan BOPP.

Pempetisyen mendakwa import BOPP lebih murah dari negara yang dikatakan itu telah menjejaskan secara material kepada industri domestik di Malaysia. -BERNAMA

Artikel Lain