Sembilan Terbunuh Dalam Pengeboman Perhimpunan Politik Pakistan

PESHAWAR: Pengebom berani mati di Pakistan membunuh sembilan orang termasuk pegawai kerajaan wilayah, pada perhimpunan politik yang diadakan Sabtu oleh pihak yang menentang Taliban, kata pegawai.

Perhimpunan di Peshawar, ibu kota di barat laut wilayah Khyber Pakhtunkhwa, diadakan oleh Parti Awami Kebangsaan, yang mana Taliban berulang-kali menjadikan anggotanya sebagai sasaran.

Antara yang terkorban Bilour Bashir, ahli kedua paling kanan dalam Kabinet wilayah, kata Ghulam Ahmed Bilour, saudara kepada ahli politik itu dan menteri keretapi persekutuan.

Lebih 20 yang lain cedera akibat letupan, kata pegawai polis tempatan Sabir Khan.

Bilour meninggalkan perhimpunan selepas menyampaikan ucaptama apabila serangan itu berlaku, kata Nazir Khan, pemimpin Parti Awami Kebangsaan tempatan.

"Terdapat asap dan habuk di sekeliling kawasan, dan mereka yang mati dan cedera telah bergelimpangan di atas tanah," katanya.

Pengebom adalah seseorang yang berjalan kaki, kata seorang lagi pegawai polis, Imtiaz Khan.

Menteri Maklumat Khyber Pakhtunkhwa dan ahli Parti Kebangsaan Awami, Mian Iftikhar Hussain berkata dia dan Bilour berkali-kali menerima ancaman daripada militan. Beliau mengutuk serangan itu dan berkata kerajaan perlu memperhebatkan peperangan terhadap Taliban.

"Keganasan telah melanda masyarakat kita," kata Hussain. "Mereka mensasarkan pangkalan kami, masjid-masjid, bazar, orang awam dan pusat pemeriksaan keselamatan kami."

Sepuluh orang militan Taliban menyerang kawasan tentera di lapangan terbang antarabangsa di Peshawar dengan roket dan bom kereta seminggu yang lalu, membunuh empat orang dan mencederakan lebih 40 yang lain.

Lima militan terbunuh semasa serangan tersebut, dan lima yang lain meninggal dunia keesokan harinya selepas ditembak pasukan keselamatan.

Artikel Sebelum

Tiga Sekeluarga Maut Tertimbus Tanah Runtuh

Artikel Berikut

Artikel Lain

Ronaldinho disahkan positif Covid-19