India Tawar Peluang Perniagaan Lebih Besar Kepada Malaysia - Dunia | mStar

India Tawar Peluang Perniagaan Lebih Besar Kepada Malaysia

NEW DELHI: Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak pada Jumaat berkata, India, yang mempunyai 1.2 bilion penduduk, menawarkan peluang yang besar kepada perniagaan Malaysia.

Katanya ini lebih nyata lagi dengan muktamatnya Perjanjian Mengenai Perkhidmatan dan Pelaburan antara Asean dan India.

"Kita boleh lihat India ini sebagai ekonomi yang tahap pertumbuhannya yang begitu tinggi. Mereka juga menjangka kadar pertumbuhan mereka boleh ditingkatkan lagi dengan wujudnya kelas pertengahan yang mempunyai kuasa membeli yang tinggi. "Maka, sudah tentu mereka boleh melihat pada Malaysia dalam bidang pelancongan, pendidikan dan pelancongan perubatan. Sudah tentu ianya adalah satu pasaran yang lebih besar untuk kita," kata Najib kepada wartawan Malaysia pada akhir Sidang Kemuncak Peringatan Asean-India 2012, di sini pada Jumaat.

Ekonomi India dijangka berkembang 7.3 peratus pada tahun depan, iaitu lebih tinggi daripada unjuran 6.5 peratus pada 2012.

Di samping itu, syarikat-syarikat India juga boleh dipelawa untuk melabur di Malaysia dalam bidang yang mereka ada keupayaan, seperti farmaseutikal, bio-teknologi dan pembuatan, katanya.

Sehingga ini, Malaysia telah meluluskan 110 projek pembuatan, yang melibatkan pelaburan India sejumlah US$1.19 bilion secara pelaburan keseluruhan.

Antara Januari-Oktober, 2012, sejumlah 10 projek pembuatan dengan penyertaan India diluluskan bernilai US$259.8 juta. "Ini semua kita boleh galakkan lagi," katanya.

"Jadi saya optimis dan yakin yang kita boleh memperluaskan dan meningkatkan lagi perhubungan kita dalam semua aspek dengan negara India," katanya.

Sejak 1998, India menjadi destinasi eksport terbesar Malaysia di rantau Asia Selatan.

Perdagangan dua hala antara Malaysia dan India bagi tempoh 2002-2011 meningkat lebih enam kali, katanya, sambil menyatakan bahawa pelaksanaan Perjanjian Kerjasama Ekonomi Komprehensif Malaysia-India pada 1 Julai, 2011 telah meningkatkan lagi perdagangan dua hala antara kedua-dua negara.

Tahun lepas, perdagangan keseluruhan meningkat 32.7 peratus berbanding 2010 untuk mencecah US$12.54 bilion. Eksport Malaysia meningkat 34.6 peratus daripada US$6.5 bilion pada 2010 kepada US$9.2 bilion.

Eksport utama Malaysia ke India pada 2011 ialah produk elektrik dan elektronik, kimia dan produk kimia, pembuatan logam dan minyak sawit manakala import utama Malaysia dari India juga kimia dan produk kimia, pembuatan makanan dan daging.

Dari Jan-Okt 2012, eksport Malaysia ke India berjumlah US$7.7 bilion manakala import berjumlah US$3.3 bilion.

Semasa ditanya sama ada Perjanjian Asean-India mengenai Perkhidmatan dan Pelaburan perlu dipercepatkan, katanya: "Saya merasakan bahawa hasratnya sedemikianlah. Adalah diharapkan apabila kita menyediakan dokumen perundangannya, ia tidak menjadi terlalu panjang. Apa yang penting ialah semangat dan prinsip yang hendak kita selesaikan."

"Kita perlu bergerak ke hadapan dan memastikannya boleh dilaksanakan menjelang suku keempat tahun depan," katanya.

Asean-India mewakili pasaran pengguna 1.8 bilion orang, dengan keluaran dalam negara kasar (KDNK) yang disatukan US$3.8 trilion. Perdagangan antara Asean dan India meningkat 43 peratus berbanding dengan 2010, yang mencecah US$74.9 bilion pada 2011.

Sasarannya ialah untuk mencapai sehingga US$100 bilion menjelang 2015. -BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Berkaitan

Artikel Lain