Malaysia Kongsi Pandangan Mengenai Pembinaan Keamanan Pasca Konflik

KUALA LUMPUR: Program pembinaan negara dan pemulihan kerajaan tidak boleh dilakukan entiti luaran, kata Timbalan Perwakilan Tetap Malaysia ke Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB), Datuk Saiful Azam Martinus Abdullah.

Dalam kenyataannya pada perbahasan di Majlis Keselamatan PBB mengenai pembinaan keamanan pasca konflik di New York pada Khamis, beliau berkata pembaharuan politik yang sensitif seperti itu dan usaha pembinaan negara mesti inklusif dan mempunyai pemilikan kebangsaan yang kukuh.

"Ini adalah penting, kerana kerajaan negara-negara yang baru muncul dari konflik mempunyai pengalaman dan mandat undang-undang untuk membawa perubahan untuk negara. "Oleh itu, pemilikan kebangsaan melibatkan usaha PBB memainkan peranan sokongan dalam pembangunan dan pembaharuan negara," katanya.

Saiful Azam berkata satu lagi isu penting dalam mana-mana pengalaman peralihan yang berjaya adalah program kapasiti negara yang kukuh yang mesti dibangunkan di bawah program pembangunan keamanan yang diselaras.

Dalam hal ini, beliau menegaskan kepentingan bidang seperti keadilan, penguat kuasaan undang-undang, pembangunan institusi, pembangunan ekonomi dan program pembangunan sosial yang diperlukan bagi membantu negara-negara yang baru muncul daripada konflik.

Diplomat, bagaimanapun, menyatakan bahawa membantu negara tersebut tidak dapat dilakukan dengan jayanya tanpa sumber kewangan yang mencukupi.

"Kami berkongsi pandangan bahawa sokongan kewangan berterusan penting sebagaimana kemahuan politik demi menuju ke arah keamanan," katanya.

Saiful Azam menegaskan bahawa strategi pembangunan yang baik dalam pembangunan keamanan diperlukan dalam membantu negara-negara yang baru muncul daripada konflik. -BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Berkaitan

Artikel Lain