suria

Proses Sembilan Tahun Denominasi Semula Rupiah Bermula Tahun Depan

JAKARTA: Proses denominasi semula mata wang Indonesia, yang bertujuan mempermudah urus niaga melibatkan wang dengan menurunkan nilai nominal, dijadualkan selama sembilan tahun, mulai tahun depan.

Denominasi semula ini berkemungkinan besar melibatkan penghapusan tiga sifar dalam Rupiah, dengan membahagikan nilai nominal rupiah dengan 1,000.

Ketua Pengarah Perbendaharaan Kementerian Kewangan Indonesia, Agus Suprijanto, berkata denominasi semula ini akan selesai pada 2022, dengan syarat Parlimen meluluskan Undang-undang Denominasi Semula. Kerajaan akan mula mencetak wang kertas baharu itu pada pertengahan tahun depan dan mengedarkannya mulai 2014, di samping wang kertas lama - tetapi dengan teks yang berbeza hingga 2018, kata Agus seperti yang dilaporkan oleh akhbar harian berbahasa Inggeris, Jakarta Globe, pada Isnin.

Beliau berkata 2014 hingga 2018 akan menjadi tempoh peralihan, bagi kerajaan menyediakan prasarana, menjelaskan rancangan itu kepada orang ramai dan mereka bentuk wang kertas baharu.

Semasa tempoh peralihan itu, orang ramai boleh berurus niaga dengan menggunakan mata wang lama, kerana kerajaan akan mensyaratkan penjual dan peniaga menggunakan tanda harga dengan nilai lama dan baharu.

"Ada banyak sebab dilakukan denominasi mata wang ini. Di pejabat saya, kami tidak boleh berurus niaga secara terus dengan nilai lebih daripada Rp10 trilion disebabkan angkanya terbatas.

"Jadi, ia terpaksa dipecahkan menjadi dua urus niaga yang lebih kecil bernilai Rp5 trilion setiap satu. Ini menjadikan proses urus niaga itu panjang," jelas Agus.

Wang kertas Rp100,000 itu kini merupakan wang kertas denominasi kedua tertinggi di rantau ini selepas wang kertas 500,000 dong Vietnam, kata laporan berita itu. -BERNAMA

Artikel Sebelum

Twitter Tambah Instragram

Artikel Berikut

Artikel Lain