suria

Banjir Di Kalimantan Akibatkan 8,872 Rumah Dinaiki Air

JAKARTA: Banjir yang melanda daerah Barito Utara, Kalimantan Tengah sejak 3 Dis lalu, setakat ini mengakibatkan 8,872 rumah penduduk dinaiki air antara dua dan empat meter.

Menurut Badan Nasional Pengurusan Bencana (BNPB), banjir yang melibatkan enam daerah kecil di Barito Utara itu turut menyebabkan 2,753 hektar sawah padi dan ribuah hektar kawasan ladang ditenggelami air.

Selain itu 11 buah sekolah, empat pusat kesihatan masyarakat, lima masjid, tujuh surau dan sebuah gereja, serta 25 jambatan konkrit dan kayu yang ditenggelami air, kata BNPB, pada Ahad.

Pihak Berkuasa Tempatan Daerah Barito Utara mengisytiharkan darurat banjir dari 8 hingga 28 Disember.

Bilangan mangsa yang dipindahkan ke pusat pemindahan bagaimanapun tidak dinyatakan.

Badan Pengurusan Bencana Daerah (BPBD) Barito Utara telah membuka pusat operasi dan koordinasi bantuan darurat dan dapur umum untuk membantu mangsa-mangsa banjir.

Pasukan bantuan membabitkan anggota beberapa agensi kerajaan termasuk polis, tentera, jabatan kesihatan, jabatan kerja raya dan Persatuan Palang Merah Indonesia membantu mangsa dengan menyalurkan bantuan beras dan makanan sumbangan Pejabat Daerah, syarikat swasta serta masyarakat kepada mangsa.

Pihak Kerajaan Negeri (Provinsi) Kalimantan Tengah turut menghantar bantuan darurat berupa peralatan dapur, pakaian, makanan segera, kelambu, kain selimut, khemah keluarga, tikar dan tilam. - BERNAMA

Artikel Berikut

Artikel Lain