suria

China Unjur Rizab Minyak Cecah Lebih 88 Bilion Tan Metrik

BEIJING: China mengunjurkan rizab minyaknya mencecah lebih 88 bilion tan metrik selepas kira-kira 12 bilion tan metrik minyak mentah ditemui sejak 2008, demikian menurut Kementerian Tanah dan Sumber.

Perangkaan terkini menunjukkan rizab minyak negara itu termasuk kira-kira 23 bilion tan metrik rizab boleh dilombong, meningkat 15 peratus sejak 2003, lapor akhbar China Daily.

Penemuan minyak China meningkat dengan kukuh dalam beberapa tahun kebelakangan ini kerana ia telah menumpukan pelaburannya dalam eksplorasi minyak dan gas, yang bertambah daripada 19 bilion yuan (US$3 bilion) pada 2002 kepada 67 bilion yuan pada 2011.

Penemuan minyak baharu kebanyakannya di enam lembangan, termasuk luar pantai Bohai Bay, lembangan Ordos di wilayah autonomi Mongolia, Sichuan, dan wilayah Beibu Gulf.

Menurut Kajian Semula Perangkaan BP Tenaga Dunia 2012, China sahaja menyumbang 71 peratus daripada pertumbuhan penggunaan tenaga pada tahun lepas.

Sementara itu, rizab gas aslinya meningkat 49 peratus kepada 52 trilion meter padu berbanding 2003, termasuk 32 trilion meter padu sumber boleh dilombong. - BERNAMA

Artikel Lain