suria

Bantuan Rundingan Damai Filipina, MILF Bukti Komitmen Malaysia Pastikan Keharmonian Serantau

KUALA LUMPUR: Seorang Anggota Parlimen menyifatkan peranan dan sokongan Malaysia dalam membantu memudahkan rundingan damai antara kerajaan Filipina dan Barisan Pembebasan Islam Moro (MILF) menunjukkan komitmen negara dalam memastikan keharmonian serantau.

Datuk Idris Haron (BN-Tangga Batu) berkata keharmonian di rantau Asia Tenggara amat penting dikekalkan bukan sahaja demi keselamatan tetapi juga untuk meningkatkan daya saing rantau itu dengan negara-negara Eropah.

"Usaha damai antara Filipina dan MILF ini telah memakan masa bertahun lamanya dan dengan kesedaran perlunya ada keharmonian di rantau ini bagi menarik pelaburan tinggi dari negara luar, kerajaan kita turut sama memainkan peranan.

"Peranan kita ini nyata membuahkan hasil apabila tidak lama lagi akan termeterainya Perjanjian Bangsamoro demi kepentingan bersama negara di rantau ini," katanya ketika ditemui di Lobi Parlimen, Isnin.

Pendapat serupa turut disuarakan Datuk Abdul Rahman Dahalan (BN-Kota Belud) yang berpandangan kepimpinan negara telah lama memainkan peranan dalam membantu merealisasikan perjanjian damai itu sejak di bawah kepimpinan Tun Dr Mahathir Mohamad dan Tun Abdullah Ahmad Badawi dan kini dijayakan di bawah kepimpinan Datuk Seri Najib Tun Razak. "Terima kasih diucapkan kepada kepemimpinan Perdana Menteri yang jelas mencari usaha damai di selatan Filipina dan kita juga amat berharap bahawa pendamaian ini akan terus bertahan," katanya ketika mencelah perbahasaan Datuk Matulidi Jusoh (BN-Dungun) ketika membahaskan Rang Undang-Undang Perbekalan 2013 di Dewan Rakyat.

Abdul Rahman berkata beliau juga yakin menerusi pendamaian itu, kemasukan pendatang asing tanpa izin dari selatan Filipina ke Sabah yang menjadi isu besar di negeri itu akan dapat ditangani.

Semalam, kerajaan Filipina dan MILF mencapai keputusan bersejarah untuk mengakhiri pergolakan di selatan negara itu dengan perjanjian damai awal yang menyaksikan pembentukan satu wilayah autonomi baru dikenali sebagai Bangsamoro.

Rangka Kerja Perjanjian mengenai wilayah Bangsamoro yang ditandatangani wakil Kerajaan Filipina dan pemimpin MILF di ibu negara itu, membuka jalan kepada perjanjian damai yang bakal dimeterai pada 15 Oktober ini di Manila.

Malaysia telah membantu dalam usaha rundingan itu sejak 2001 dan menerajui Pasukan Pemantau Antarabangsa sejak 2004. -BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain