suria

Syarikat Penerbangan Uruguay - Pluna Bankrap, Penerbangan Digantung

MONTEVIDEO: Syarikat penerbangan di Uruguay - Pluna, pada Jumaat mengisytiharkan insolvensi, sehari selepas mengumumkan penggantungan terhadap semua penerbangan kerana masalah kewangan syarikat.

Presiden syarikat, Fernando Pasadores membuat pengumuman itu dalam satu temu bual radio.

Eksekutif di Pluna berkata langkah seterusnya berkemungkinan besar membubarkan syarikat, yang telah diambil alih oleh kerajaan pada bulan lepas.

Kerajaan pada asalnya memiliki 25 peratus saham, tetapi mengambil alih syarikat ini selepas konsortium swasta LeadGate menarik balik 75 peratus saham yang dimiliki.

"Walaupun cuba untuk mencari pemegang saham baru, syarikat mengalami masalah kekurangan wang, yang menjadikannya mustahil untuk meneruskan operasi di bawah syarat-syarat ini," kata Pasadores.

Pasadores menjelaskan pendapatan bulanan syarikat itu kira-kira AS$15 juta adalah "tidak cukup untuk membayar kos operasi.

Syarikat itu mempunyai 13 pesawat Bombardier CRJ900 dan kira-kira 900 pekerja. Enam kapal terbang yang dikendalikan atas dasar pajakan akan dikembalikan, dan tujuh lagi akan dijual.

Penerbangan Pluna beroperasi menghubungkan Uruguay ke Argentina, Brazil, Chile dan Paraguay. Syarikat itu membawa kira-kira 1.5 juta penumpang setiap tahun.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain