suria

Tesco Meterai Perjanjian Keluar Daripada Perniagaan Jepun

LONDON: Peruncit terbesar di Britain, Tesco pada Isnin mengumumkan bahawa syarikat itu akhirnya memeterai satu perjanjian untuk mengakhiri perniagaannya di Jepun.

Tesco dalam satu kenyataan berkata, ia akan ‘keluar’ Jepun dalam dua peringkat iaitu pertama dengan menjual pegangannya di Tesco Jepun kepada Aeon, yang merupakan kumpulan runcit terbesar negara itu di Asia untuk jumlah yang kecil.

Sejurus ia bergabung bersama dengan Aeon, Tesco berkata, syarikat itu akan melaburkan kira-kira 40 juta euro ke dalam perniagaan Jepun dengan membiayai penstrukturan semula.

Kemudiannya, Tesco berkata, ia tidak lagi mempunyai apa-apa lagi urusan kewangan dengan perniagaan di Jepun.

Penyelesaian transaksi bergantung pada kelulusan.

Tesco pada 10 bulan lalu secara rasminya mengumumkan bahawa ia akan ‘melepaskan’ perniagaannya di Jepun dan menjual 100 pasar raya kecilnya bagi memfokuskan operasi lain di Asia.

“Saya berterima kasih kepada teman-teman di Jepun, yang melakukan kerja yang cemerlang untuk perniagaan ini,” kata Ketua Eksekutif Tesco, Philip Clarke dalam satu kenyataan pada Isnin.

“Kami berbesar hati mengumumkan perjanjian dengan Aeon pada hari ini, dan yakin ini akan memberikan hasil yang terbaik untuk para pekerja, pelanggan di Jepun serta semua pemegang saham,” tambahnya.

Tesco menembusi Jepun pada tahun 2003, sementara perniagaan itu pada masa ini meliputi 117 gedung kecil di bawah jenama Tsurakame, Tesco dan Tesco Express di sekitar bandara raya Tokyo. - AFP

Artikel Lain