suria

Paris Jackson "Keliru" Muka Ditutup Zaman Kanak-Kanak

Paris Jackson
Paris Jackson
Paris Jackson

LOS ANGELES: Anak perempuan Michael Jackson, Paris "benar-benar keliru" dengan pemakaian penutup muka atau topeng ketika dia bersama mendiang "pop star" pada zaman kanak-kanaknya di khalayak ramai, tetapi kini faham mengapa bapanya berkeras berbuat demikian.

Paris Jackson, 14, memberitahu Oprah Winfrey dalam wawancara TV yang akan disiarkan pada Ahad, bahawa penyanyi itu mahu tiga anak-anaknya membesar secara normal seperti kanak-kanak lain yang tidak dapat dikecapinya.

Jackson, yang meninggal dunia pada Jun 2009, dikenali sebagai ayah yang sering menutup muka anaknya sejak mereka kecil.

Paris dan abangnya Prince, 15 serta adiknya Prince Michael II, 10, kini menghadiri sekolah biasa di kawasan Los Angeles dan membuat penampilan di acara-acara peringatan untuk Raja Pop itu.

"Saya benar-benar keliru," kata Jackson kepada Winfrey berdasarkan petikan pendahuluan temubual.

"Saya tidak tahu kenapa saya memakai topeng. Tetapi sekarang saya faham, mengapa ayah mahu muka kami dilindungi. Apabila kami keluar tanpa dia, kami tak akan dikenali.

"Dia memberitahu kami ketika dia masih muda, dia tidak menjadi kanak-kanak sebenar," katanya.

"Dia sentiasa terperap di studio sementara kanak-kanak lain keluar bermain. Dia mahu kami merasai semua itu.

"Kami menjadi kanak-kanak biasa termasuk mengikuti lawatan," katanya.

Memasuki ulang tahun ketiga kematian Jackson pada umur 50 tahun kerana dos propofol anestetik berlebihan, Paris berkata kehilangan ayahnya sebagai "tidak pernah mudah."

Dia cuba memulakan kerjaya sendiri sebagai seorang pelakon.

Wawancara penuh dengan Winfrey akan disiarkan pada Ahad di saluran Oprah Winfrey. - Reuters

Artikel Lain