suria

Akhbar Dalam Talian Huffington Post Kini Kembang Sayap Ke Sepanyol

MADRID: Huffington Post - akhbar dalam talian yang semakin popular dan mendapat perhatian ramai kini telah membuka cawangannya di Sepanyol iaitu yang keenam sejak dilancarkan pada tahun 2005.

Selain mempunyai edisi Amerika Syarikat, akhbar dalam talian itu turut mempunyai dua edisi Kanada, Perancis, Britain dan kini dalam bahasa Sepanyol.

Penerbit dan pengasasnya, Arianna Huffington, 61, kini berada di sini untuk menyiapkan pelancaran pejabat keenamnya itu.

Dalam temuramah dengan agensi berita AFP, Huffington berkata, ini adalah masanya untuk memperkenalkan sesuatu yang baru pada ketika masyarakat memerlukan platform untuk menyuarakan pendapat.

Huffington percaya model perniagaannya itu yang menggaji lapan wartawan, dua pelatih mampu membawa keuntungan.

Projek akhbar dalam talian itu dilancarkan dengan kerjasama akhbar harian popular Sepanyol El Pais.

Melalui kerjasama itu, El Pais akan bertanggungjawab terhadap pengiklanan manakala Huffington menumpukan perhatian kepada kandungan berita.

Keuntungan dikongsi secara sama rata.

"Sebab itulah di setiap negara yang kami beroperasi kami menjalankannya bersama rakan kongsi media yang sudah kukuh kerana kami memulakan projek ini dengan kos yang paling minima," kata Arianna.

Menurutnya, Huffington Post edisi Sepanyol akan dikendalikan sepenuhnya oleh warga Sepanyol dalam bahasa Sepanyol.

Para wartawannya kini sedang dilatih oleh pengarang-pengarang kanan Huffington Post yang terlatih.

The Huffington Post secara keseluruhannya mempunyai 500 wartawan dan pengarang.

Baru-baru ini wartawannya telah memenangi anugerah Pulitzer iaitu hadiah kewartawanan tertinggi Amerika melalui laporan tentang nasib veteran perang Iraq yang disiarkan dalam 10 siri.

Pada bulan September akan datang Huffington Post akan melancarkan pula edisi Itali dengan kerjasama Gruppo Editoriale L'Espresso.

Mereka juga sedang dalam perbincangan untuk membuka edisi Jerman, Brazil, India dan Jepun.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain