suria

Banjir Di Kalimantan: Lima Terbunuh

JAKARTA: Banjir yang melanda hampir separuh bandar Balikpapan di Kalimantan Timur berikutan hujan lebat dan tanah runtuh semalam, mengakibatkan lima terbunuh manakala syarikat pembekal elektrik, PT PLN pula mengalami kerugian mencecah Rp500 juta (RM169,000).

Ketua PLN Kawasan Balikpapan, Ismail Deu berkata kerugian akibat kabel elektrik putus serta tiang elektrik tumbang sahaja mencecah Rp300 juta (RM101,000).

Beliau berkata ketika banjir melanda pagi semalam, PLN telah memutuskan bekalan elektrik ke kawasan terjejas dengan segera untuk keselamatan penduduk.

Katanya, bagaimanapun banjir telah mengakibatkan kerosakan kepada banyak peralatan pembekalan elektrik hingga mengakibatkan aliran tenaga elektrik kepada pengguna terjejas.

Sementara itu, Ketua Bahagian Perhubungan Awam dan Protokol Kerajaan Tempatan Balikpapan, Sudirman Djayaleksana berkata banjir itu berlaku disebabkan hujan lebat di Balikpapan sejak pukul 3 pagi hingga 11 pagi waktu tempatan. -BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain