Dipanggang Bahang Musim Panas Di New Delhi - Dunia | mStar

Dipanggang Bahang Musim Panas Di New Delhi

NEW DELHI: "Saya rasa seperti mahu melompat ke dalam kolam berisi kiub ais. Sangat-sangat panas."

Ini adalah antara mesej pada laman Facebook atau Twitter milik beberapa kawan saya di Malaysia.

Ramai rakyat Malaysia merungut kepanasan sejak kebelakangan ini apabila suhu di negara itu melonjak kepada 32 darjah Celsius berbanding kelaziman 26 atau 27 darjah.

Sebenarnya mereka patut bersyukur kerana tinggal di Malaysia, di mana iklimnya lebih sejuk berbanding India.

Bagi penduduk di New Delhi, 32 darjah itu dianggap sebagai "nyaman".

Malah musim panas tahun ini dianggap musim panas paling nyaman dalam tempoh beberapa tahun di sini, sekalipun bahagian selatan negara ini membahang berbanding tahun-tahun sebelumnya.

Antara lima bandar raya di selatan iaitu Hyderabad, Chennai, Bangalore, Kochi dan Coimbatore, suhu di dua kota raya iaitu Hyderabad dan Chennai mencecah 42 darjah bagi tempoh 11 hingga 17 Mei lepas.

Suhu tertinggi setakat ini di Delhi bagi bulan ini adalah antara 41 dan 42 darjah, berbanding kebiasaan antara 44 dan 45 darjah, menurut penduduk Delhi.

Jika hujan turun, suhu ada kala turun sedikit kepada antara 37 dan 38 darjah, sekali gus menceriakan masyarakat di sini.

Sebelum ini dilapor bahawa buat pertama kali dalam tempoh 18 tahun, bulan April di Delhi berlalu tanpa merekodkan suhu pada paras 42 darjah.

Suhu tertinggi pada bulan itu ialah 38.7 darjah Celsius yang dicatat pada 3 April dan merupakan suhu tertinggi paling rendah bagi bulan April sejak 1982, dan kedua terendah sejak 1969, lapor Times of India.

Sekali gus tiada hari diisytihar mengalami gelombang haba di barat laut India bulan lepas.

Ribut debu juga perkara biasa ketika musim panas di Delhi, yang berlaku setiap kali suhu terlalu panas yang mana ruang vakum tercipta dan angin yang kuat meniup debu ke udara.

Akan tetapi, penduduk di Delhi tidak merungut dengan lapisan debu yang menyelubungi rumah dan persekitaran akibat kejadian itu, kerana keadaan tersebut sedikit sebanyak menurunkan suhu.

Apabila musim panas tiba, isu bekalan air juga melonjak dan ini diikuti masalah kebersihan dan sanitasi selain gangguan bekalan elektrik disebabkan peningkatan mendadak penggunaan kuasa elektrik.

Semua berita tentang musim panas yang "paling sejuk" tidak dapat memujuk saya daripada merungut mengenai bahang panas di sini, kerana sebagai rakyat Malaysia, suhu 32 darjah pun sudah tidak dapat ditanggung apatah lagi 42 darjah.

Satu-satunya berita yang menyejukkan saya ialah apabila dimaklumkan monsun dijangka tiba mengikut jadual pada 1 Jun ini, yang diramal akan menurunkan suhu panas persekitaran dan juga manusia.

Jabatan Meteorologi Pusat berkata monsun diramal melanda pantai Kerala pada tarikh tersebut.

Menurut penduduk di sini, kesan sejuk itu akan dirasai di Delhi dalam masa 20 hari sehingga sebulan.

Sementara menunggu ketibaan saat sejuk itu, saya terpaksa bertahan dan bersabar sekalipun "dipanggang" dan "dibakar" oleh bahang musim panas Delhi.

Pengalaman ini mencetuskan persoalan dalam diri saya:

Berapa kerapkah kita rakyat Malaysia sedar betapa negara kita dirahmati, bukan sahaja daripada segi iklim tetapi juga keamanan, keharmonian dan kemakmuran? - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Gempa Bumi 6.5 Magnitud Landa Greenland

Artikel Berkaitan

Klik

default image

Covid-19: Seminar Dr Azizan diteruskan secara online, tapi auranya ‘fuhhh’ macam buat dalam dewan besar - “Kami tak nak tangguh kejayaan anda”

PENULARAN wabak Covid-19 semakin meruncing berikutan peningkatan mendadak jumlah kes jangkitan virus itu di Malaysia.

default image

TVET ada potensi besar untuk kerjaya masa depan, ini lepasan SPM perlu tahu untuk jadi graduan ‘terhangat di pasaran’

HEBAT calon-calon SPM tahun 2019 apabila pencapaian mereka lebih baik berbanding tahun sebelumnya.

Artikel Lain