suria

Kedutaan Malaysia Sertai Bazar Diplomatik Di Bangkok

BANGKOK: Kedutaan Malaysia di Thailand menyertai Bazar Diplomatik Palang Merah di sini hari ini, dengan menawarkan beraneka produk merangkumi nasi lemak dan teh tarik hinggalah kepada songket serta sandal.

Pau sejuk beku, aiskrim, kek dan biskut juga boleh diperoleh di gerai Malaysia.

Kesemua hasil jualan daripada acara dua hari itu yang berakhir hari ini akan didermakan kepada Persatuan Palang Merah Thai untuk membantu mangsa-mangsa banjir di negara ini.

Petugas kedutaan Malaysia termasuk Duta Malaysia ke Thailand Datuk Nazirah Hussain membantu menguruskan gerai yang terletak di Kompleks Beli-belah Siam Paragon di sini.

Lebih 50 kedutaan termasuk dari Amerika Syarikat, Switzerland, Iran dan Bhutan menyertai acara itu dengan menjual pelbagai barangan seperti makanan, minuman, kelengkapan rumah, produk kesihatan serta kecantikan dan fesyen.

Pengunjung, antara lain, berpeluang membeli cerut Cuba, permaidani Belgium, jam tangan Swiss dan keju Netherlands pada harga diskaun.

Thailand mengalami banjir terburuk dalam tempoh empat dekad tahun lepas dengan kira-kira satu pertiga dari negara itu digenangi air, empat juta penduduk terjejas dan kira-kira 700 orang terkorban, dengan kerugian berjumlah kira-kira 1.4 trilion Baht (kira-kira RM140 bilion). - BERNAMA

Artikel Lain