suria

Kedutaan Israel Di Singapura Sahkan Lawatan Ehud Barak

SINGAPURA: Kedutaan Israel di Singapura, pada Jumaat mengesahkan lawatan Menteri Pertahanan Ehud Barak ke republik itu baru-baru ini tetapi menafikan khabar angin yang mengatakan beliau telah menjadi sasaran pembunuh.

"Menteri Pertahanan Ehud Barak memang berada di Singapura untuk menghadiri pertunjukkan udara yang sedang berlangsung sekarang dan melawat pavilion Israel," kata jurucakap kedutaan itu, Michal Sarig-Kaduri kepada agensi berita AFP dalam satu emel.

Pertunjukkan Udara Singapura adalah salah satu pertunjukkan yang terbesar di rantau Asia yang mana Israel mempunyai kepentingan sebagai salah satu peserta utama dalam industri pertahanan udara.

Pertunjukkan itu akan berakhir hujung minggu ini.

Sarig-Kaduri bagaimanapun menafikan laporan sebuah akhbar Kuwait 'Al Jarida' bahawa Barak telah menjadi sasaran kumpulan Hezbullah-Iran ketika beliau berada di Singapura antara 12-15 Februari.

Laporan itu kemudiannya dipetik oleh media-media utama Israel.

Adalah difahamkan tiga orang suspek telah ditahan pihak berkuasa Singapura hasil maklumat daripada agensi perisikan Israel - Mossad.

Pihak keselamatan Israel di kedutaan mereka di seluruh dunia telah diletakkan dalam keadaan berjaga-jaga selepas beberapa siri serangan ke atas diplomatnya telah dilancarkan di Bangkok, India dan Georgia baru-baru ini.

Artikel Berikut

Artikel Lain