suria

28 Maut Kereta Meletup Di Majlis Pengebumian

BAGHDAD: Sebuah bom kereta meletup di perkarangan luar sebuah hospital di timur Baghdad pada Jumaat menyebabkan sekurang-kurangnya 28 orang terbunuh manakala 50 lagi cedera.

Jurucakap Kementerian Dalam Negerinya mengesahkan letupan di Zafraniyah berlaku pada pukul 11.00 pagi ketika orang ramai menghadiri satu majlis pengebumian.

Letupan itu dipercayai dilakukan oleh seorang pengebom berani mati menghidupkan bom di dalam kereta yang dipandunya.

Serangan itu disasarkan terhadap majlis pengebumian seorang ejen hartanah Mohammed al-Maliki yang dibunuh bersama isteri dan anaknya pada Khamis di Yarmuk.

Ketika letupan berlaku, beberapa individu dikatakan sedang mengusung jenazah Maliki.

Seorang pegawai perubatan berkata, kira-kira empat wanita antara yang maut tetapi identiti mangsa tidak didedahkan.

Maliki dan keluarganya dipercayai dibunuh oleh sekumpulan lelaki bersenjata di Yarmuk tetapi motif sebenar pembunuhan masih dalam siasatan.

Keganasan di Iraq semakin berkurangan tetapi insiden serangan masih berleluasa.

Kira-kira 200 orang terbunuh dalam beberapa siri serangan sejak tentera Amerika Syarikat (AS) mengundur diri dari negara itu pada 18 Disember lalu.

Insiden letupan itu berlaku sehari selepas keganasan di Iraq yang menyebabkan 17 orang maut.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

11 Maut Dalam Runtuhan Bangunan

Artikel Lain