suria

4 Maut, 90 Cedera Di Bangkok

BANGKOK: Satu letupan besar akibat pertunjukan bunga api sempena sambutan Tahun Baru Cina di Thailand, menyebabkan sekurang-kurangnya empat orang terbunuh, 90 cedera dan lebih 100 kediaman terbakar.

Pihak berkuasa negara itu berkata, insiden yang berlaku pada Selasa berpunca daripada bunga api yang tersasar mengenai timbunan roket yang dipamerkan di bandar Suphan Buri itu, kira-kira 100 kilometer ke barat laut Bangkok.

Menurut pegawai kerajaan, Somjate Phromsunthorn, tiga lelaki yang merupakan penganjur pertunjukan bunga api maut di tempat kejadian, manakala seorang penonton wanita meninggal dunia pada Rabu ekoran kecederaan parah.

Media tempatan melaporkan, letupan turut mencetuskan kepulan asap hitam di ruang udara dan menyebabkan pendengaran pengunjung terganggu seketika.

Rakaman televisyen menunjukkan rangka-rangka kenderaan dan kediaman terpelanting ke kawasan perumahan berdekatan.

Seorang saksi, Krianee Kitpat berkata, dia berada di depan rumahnya ketika kejadian berlaku dan melihat bunga api mengenai kediamannya.

Pihak berkuasa bertindak mendirikan khemah sementara untuk menempatkan mangsa-mangsa yang dipindahkan dari kawasan itu.

Sambutan itu dilaporkan turut dihadiri Timbalan Perdana Menteri, Chumpol Silpa-archa dan adiknya, bekas Perdana Menteri Tahiland, Banharn Silpa-archa.

Kedua-dua pemimpin itu bagaimanapun tidak mengalami sebarang kecederaan.

Artikel Berikut

Artikel Lain