JAKARTA: Kerosakan akibat gempa bumi tektonik berkekuatan 6.3 pada skala Richter di daerah kecil Komodo, daerah Manggarai Barat, Nusa Tenggara Timur (NTT) pada Sabtu lepas, ditaksir telah menyebabkan kerugian lebih Rp11.6 bilion.
Sungguhpun tidak ada korban jiwa dan penduduk yang dipindahkan, kejadian itu telah mengakibatkan 398 rumah penduduk dan 26 sekolah mengalami pelbagai jenis kerosakan.
Lapan belas rumah ibadat, sebuah hospital dan sebuah pusat kesihatan masyarakat juga mengalami kerosakan kecil dalam kejadian yang menjejaskan dua buah mukim di daerah kecil Komodo itu.
Nilai kerugian itu diperoleh berdasarkan pengesahan Pasukan Reaksi Cepat (TRC) Badan Nasional Pengurusan Bencana (BNPB) dan Badan Pengurusan Bencana Daerah Manggarai Barat, kata Ketua Pusat Data Maklumat dan Perhubungan Awam BNPB Sutopo Purwo Nugroho, Rabu.
Sutopo berkata gempa bumi yang berpusat di dasar laut pada kedalaman 124 km, di 48 km ke Barat Daya Manggarai Barat itu dirasakan cukup kuat dalam tempoh tiga saat dan telah menyebabkan penduduk menjadi panik pada ketika itu.
Pagi ini TRC BNPB akan meneruskan pemeriksaan di pulau-pulau kecil di beberapa daerah lain sekitar tempat kejadian, katanya.


