suria

Tragedi Kapal Persiaran Itali:Tiga Lagi Penumpang Berjaya Diselamatkan

PULAU GIGLIO (Itali): Dua warga Korea Selatan yang sedang berbulan madu dan seorang lelaki dari Itali berjaya diselamatkan dari sebuah kapal persiaran yang terbalik selepas melanggar batu di persisir pulau Giglio.

Namun, berpuluh-puluh penumpang dilaporkan masih hilang.

Anggota penyelamat, Luca Carli berkata, operasi menyelamat sukar kerana dek kapal berada pada kedudukan 90 darjah dan akan tenggelam pada bila-bila masa.

"Kami berjaya menyelamatkan tiga penumpang," kata seorang pegawai pengawal pantai.

Menurutnya, lelaki warga Itali itu mengalami patah kaki.

Kapal persiaran, Costa Concordia yang membawa 4,200 penumpang dilaporkan melanggar sebongkah batu besar di pesisir pantai Giglio pada Jumaat.

Dua penumpang warga Perancis dan seorang anak kapal disahkan meninggal dunia selepas terjun ke laut Mediterranean yang sejuk.

Pasangan suami isteri dari Korea Selatan yang menaiki kapal tersebut untuk berbulan madu itu diselamatkan menggunakan helikopter.

"Mereka berada dalam keadaan stabil. Mereka ditemui di dalam kabin," katanya.

Kira-kira 100 penumpang berjaya diselamatkan pada malam Jumaat selepas bot penyelamat yang dinaiki mereka gagal berfungsi manakala 60 penumpang lagi berjaya dikeluarkan dari kapal tersebut.

Pegawai perubatan berkata, sekurang-kurangnya 42 penumpang tercedera termasuk dua daripadanya berada dalam keadaan kritikal ekoran kecederaan di kepala dan tulang belakang.

Artikel Lain