suria

Indonesia Optimis Turunkan Angka Kemiskinan Kepada Lapan Peratus

JAKARTA: Indonesia optimis dapat menurunkan angka kemiskinan kepada lapan hingga sembilan peratus pada tahun 2014, daripada 12.36 peratus pada masa ini.

Matlamat itu akan dijayakan melalui pelaksanaan program-program pembasmian kemiskinan yang boleh memacu penurunan kadar kemiskinan sekurang-kurangan satu peratus setiap tahun, kata Menteri Penyelaras Bidang Kesejahteraan Rakyat Agung Laksono.

Ia diyakini dapat dilaksanakan dengan berkesan kerana pertumbuhan ekonomi negara yang baik pada masa ini iaitu di atas 6.5 peratus setahun, katanya.

Beliau berkata penduduk miskin di Indonesia sekarang berjumlah 29.5 juta orang, termasuk mereka yang berada dalam kumpulan termiskin, selain itu ada 30 juta orang lagi berada dalam kumpulan hampir miskin.

Penduduk Indonesia berjumlah 237 juta, mengikut bancian penduduk 2010.

Program pembasmian kemiskinan yang dilaksanakan oleh kerajaan termasuklah program perlindungan sosial yang meliputi bantuan dalam bidang kesihatan dan pendidikan, program pemberdayaan masyarakat, program pemberian kredit usaha dan program penyediaan kemudahan murah seperti perkhidmatan pengangkutan desa murah, rumah murah dan bekalan elektrik serta air murah.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain