suria

Vietnam Hantar Aktivis Ke Pusat Pemulihan Dadah

HANOI: Seorang aktivis Vietnam telah dihantar ke pusat pemulihan dadah sebagai hukuman mengambil bahagian dalam protes anti-China, kata peguamnya.

Ha Huy Son berkata Bui Thi Minh Hang yang berusia 47 tahun ditahan 27 November lalu selepas menyertai protes kecil di selatan Bandar Raya Ho Chi Minh.

Pada keesokan harinya, Hang telah dipindahkan tanpa perbicaraan ke Pusat Pemulihan Dadah Thanh Ha di utara wilayah Vinh Phúc, berhampiran Hanoi.

Dia akan menghabiskan masa selama dua tahun di pusat itu.

Son berkata, dia membuat aduan kepada Datuk Bandar Hanoi Nguyen The Thao pada Rabu, tetapi tidak mendapat penjelasan. Permintaannya untuk melawat Hang juga tidak dipenuhi.

'Human Rights Watch' yang berpangkalan di New York telah menggesa kerajaan Vietnam untuk segera membebaskan para aktivis.

"Tidak ada justifikasi tertentu untuk pihak berkuasa Vietnam untuk menghukum penunjuk perasaan secara aman," kata Timbalan Pengarah Kumpulan Asia, Phil Robertson, dalam satu kenyataan hari ini.

"Menahan Bui Thi Minh Hang tanpa perbicaraan menunjukkan gangguan hak asasi manusia dan jaminan kebebasan bersuara terkandung dalam perlembagaan Vietnam."

Hang aktif menyertai demonstrasi anti-China yang berlaku di ibu negara tidak lama dulu selepas Hanoi menuduh Beijing mengganggu aktiviti cari gali minyak di Laut China Selatan.

Penahanan beliau mendorong berpuluh-puluh golongan intelektual dan aktivis menghantar sepucuk surat terbuka pada kepada Presiden Truong Tan Sang, pada Disember menggesa beliau untuk membebaskannya.

Sebelum tangkapan terbaru, Hang telah ditahan sekurang-kurangnya empat kali dalam tempoh lima bulan kerana mengambil bahagian dalam protes, menurut Human Rights Watch.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain