suria

Dua Lelaki Didapati Bersalah Bunuh Remaja Kulit Hitam

LONDON: Juri di sini pada Selasa, mendapati dua lelaki bersalah atas tuduhan membunuh seorang remaja kulit hitam dengan kejam, dalam suatu kes berunsur perkauman dan ketidakcekapan siasatan oleh polis Scotland Yard.

Gary Dobson, 36, dan David Norris, 35, disabitkan bersalah membunuh Stephen Lawrence, 18, semasa dia sedang menunggu bas pada waktu malam di Selatan London pada tahun 1993.

Kedua-dua mereka yang berhadapan hukuman penjara seumur hidup akan mengetahui hukuman mereka pada Rabu.

"Sekiranya pihak polis melakukan kerja mereka dengan sempurna, saya akan menghabiskan masa selama 18 tahun meratapi kematian anak saya, dan bukannya memperjuangkan supaya pembunuh itu dihadapkan ke mahkamah," kata ibu mangsa, Doreen selepas keputusan itu dibacakan.

Siasatan sebelum ini memperlihatkan banyak kritikan dilemparkan terhadap pasukan polis sehingga menyebabkan satu siasatan dibuat untuk mengetahui sekiranya pihak berkuasa itu ‘mengamalkan sikap perkauman’.

Kes tersebut juga disifatkan sebagai salah satu kes paling sukar diterima dalam sejarah polis Scotland Yard dan mereka juga mengakui bahawa siasatan kes terbabit masih belum selesai.

Lawrence yang berniat untuk menyambung pendidikan dalam bidang arkitek ditikam sebanyak dua kali semasa sedang menunggu bas bersama rakannya, Duwayne Brooks.

Dia dipercayai diserang oleh sekumpulan remaja dan polis percaya lebih ramai terlibat dalam insiden menikam mangsa.

"Saya yakin tidak boleh berehat sehingga semua yang terlibat dibawa ke muka pengadilan," kata ayah Lawrence, Neville dalam satu kenyataan yang dibacakan oleh peguamnya.

Dalam kejadian itu, tangkapan hanya dilakukan selepas dua minggu pembunuhan berlaku dan pada tahun 1996, tiga suspek itu - Neil Acourt, Luke Knight dan Dobson - dibebaskan daripada tuduhan tersebut.

Kempen berterusan daripada keluarga mangsa dan juga perubahan kerajaan pada tahun 1997 membantu kes tersebut daripada ditutup.

Laporan yang dibuat oleh William Macpherson juga mendapati pihak polis bersifat perkauman dan gagal untuk menyiasat pembunuhan Lawrence dengan sempurna kerana dia berkulit hitam.

Pada tahun 2004, pihak pendakwaan mengumumkan bahawa tiada bukti kukuh untuk mendakwa sesiapa atas pembunuhan tersebut atas ketidakcekapan pihak polis.

Bagaimanapun bukti forensik baru yang dijumpai pada tahun 2007 membantu menyelesaikan kes tersebut.

Artikel Lain