suria

Indonesia Komited Teruskan Usaha Mengurus, Mempromosi Perubahan

JAKARTA: Indonesia akan meneruskan usaha mengurus dan mempromosi perubahan dalam diplomasi luar negeri pada tahun 2012, kata Menteri Luar Negeri Marty Natalegawa.

Usaha itu bertujuan mewujudkan keadaan yang kondusif untuk semua pihak dapat menikmati keselamatan bersama, kestabilan bersama dan kemakmuran bersama.

"Indonesia secara gigih akan berjuang untuk perdamaian dan kemakmuran.

"Perkembangan yang berlaku pada tahun 2011 telah membuktikan komitmen yang dimaksudkan itu dan pada tahun 2012, perkara ini akan terus menjadi platform diplomasi dan politik luar negeri Indonesia," katanya dalam Pernyataan Tahunan Kementerian Luar Indonesia di sini, Rabu.

Marty berkata sepanjang 2011, Indonesia telah memberi perhatian kepada peningkatan hubungan dengan negara-negara sahabat.

Ia termasuk usaha mengukuhkan mekanisme bilateral dengan menggiatkan semula mekanisme itu dengan sejumlah negara atau mempertajam mekanisme yang sudah berjalan secara biasa.

"Secara sistematik, mekanisme yang telah direvitalisasi sejak tahun sebelumnya, pada tahun 2011 ini dilakukan penajaman lebih lanjut misalnya dengan Timor Leste, New Zealand, Malaysia, Amerika Syarikat dan Jepun," katanya.

Beliau berkata sepanjang tahun 2011 Indonesia telah menandatangani sekurang-kurangnya 146 perjanjian antarabangsa, di mana 131 daripadanya adalah perjanjian bilateral.

Indonesia juga telah meratifikasi 26 perjanjian, di mana hampir 90 peratus merupakan perjanjian bilateral dan lebih dari 60 peratus daripadanya adalah di bidang perekonomian.

"Hasil positif telah kita saksikan dan rasakan bersama. Sepanjang tahun 2011 misalnya, nilai perdagangan bilateral Indonesia dengan hampir semua negara sahabat mengalami peningkatan dibandingkan dengan tempoh sama pada tahun 2010," katanya sambil menambah bahawa jumlah perdagangan dengan 13 negara rakan strategik meningkat tinggi di atas 50 peratus.

Mengenai usaha perlindungan terhadap warganegara Indonesia yang terancam hukuman mati di luar negeri, beliau berkata pelbagai upaya diplomasi telah dilakukan di semua peringkat, sama ada secara langsung oleh Presiden dan Menteri Luar, mahupun oleh perwakilan Indonesia di luar negeri.

Dengan upaya khusus dan arahan Presiden termasuk pembentukan pasukan petugas, sejumlah 35 warga negara Indonesia dibebaskan daripada ancaman hukuman mati di luar negeri pada tahun lalu.

Menteri itu berkata lebih daripada 65 peratus daripada warganegara Indonesia yang terancam hukuman mati itu adalah karena kes dadah dan 31 peratus kerana kes pembunuhan.

Perlindungan dan sikap berpihak kepada warga negara Indonesia di luar negeri merupakan amanat perlembagaan negara, katanya.

Marty berkata kementeriannya juga telah melakukan kajian mendalam mengenai undang-undang pekerja di negara tujuan pengiriman tenaga kerja Indonesia untuk memastikan jaminan perlindungan bagi mereka di luar negara.

Hasil kajian ini akan menjadi salah satu input bagi dasar pengiriman tenaga kerja Indonesia ke luar negara, katanya.

Artikel Lain