suria

Tiga Terbunuh Dalam Dua Serangan Di Thailand

BANGKOK: Kira-kira 30 lelaki bersenjata menyerang sebuah kilang di Rusak, Narathiwat awal pagi Jumaat, menyebabkan dua sukarelawan pertahanan terbunuh dan tiga yang lain cedera.

Ketua polis Rusak Kol Pol Sathanfa Wamasing berkata ketika kejadian pada pukul 2.45 pagi itu, kesemua lima sukarelawan pertahanan berkenan sedang mengawal sebuah kilang di Kampung Jalaeboh.

Beliau berkata lelaki yang bersenjatakan M-16 dan AK-47 itu turut melarikan lima sejata api milik mangsa.

Ia adalah serangan terancang dengan beberapa orang menyerang kilang itu, beberapa lagi menghalang laluan ke kilang berkenaan dengan menumbangkan pokok bagi menghalang polis tiba di tempat kejadian tepat pada masanya manakala beberapa yang lain menyerang bit polis yang terletak kira-kria 800 meter dari kilang itu, katanya.

Polis percaya motif serangan itu ialah membalas dendam atas kematian beberapa pemberontak serta operasi polis terhadap tempat persembunyian mereka baru-baru ini, katanya.

Lebih 5,000 orang terbunuh sejak kumpulan pemisah melancarkan semula gerakan bersenjata menuntut kemerdekaan untuk tiga wilayah iaitu Narathiwat, Pattani dan Yala lapan tahun lepas.

Sementara itu, seorang lelaki maut manakala isterinya cedera dalam kejadian tembakan di Sungai Golok, Narathiwat, Jumaat.

Ketua Polis Sungai Golok Kol Pol Chakkrapom Thaengthong berkata Abdul Awae, 51, mati di Hospital Sungai Golok manakala isterinya Rohaya Chetae, 32, seorang guru, cedera di tangan kanan.

Ketika kejadian pada pukul 5 pagi, pasangan itu berada dalam sebuah trak pikap.

Artikel Sebelum

Artikel Lain