suria

Dua Maut Makan Cendawan Beracun

SYDNEY: Dua orang maut manakala seorang lagi masih dirawat selepas makan cendawan beracun ‘Death Cap’, lapor sebuah hospital di sini pada Rabu.

Secara keseluruhan empat individu dimasukkan ke hospital selepas makan cendawan tersebut pada majlis makan malam sempena sambutan Tahun Baru di Canberra.

Seorang lagi mangsa telah dibenarkan keluar dari Hospital Canberra manakala tiga lagi dihantar ke Hospital Royal Prince Alfred (RPA), di sini.

"Dua daripada mereka meninggal dunia di RPA sementara mangsa ketiga sedang diberi rawatan," kata jurucakap hospital berkenaan.

Hospital tersebut juga enggan mendedahkan maklumat mengenai mangsa mahupun rawatan yang diberikan kerana menghormati hak peribadi pesakit.

Bagaimanapun, laporan sebuah media tempatan menyatakan mangsa ketiga sedang menunggu untuk menjalani pemindahan hati.

Dipercayai semua mangsa tersilap kerana menganggap cendawan tersebut sebagai cendawan padi yang menjadi hidangan biasa di Asia Tenggara.

Keseluruhan bahagian cendawan ‘Death Cap’ tidak boleh dimakan dan ia boleh membawa maut, walaupun diambil dalam kuantiti sedikit.

Mereka yang termakan cendawan tersebut akan menunjukkan beberapa simptom seperti muntah-muntah dan boleh maut dalam tempoh beberapa hari ekoran toksin didalamnya membahayakan hati.

"Kesimpulannya, mereka akan mengalami masalah kegagalan hati untuk berfungsi dan itu adalah punca kematian," kata Pengarah Pusat Maklumat Racun New South Wales, Dr Naren Gunja.

Artikel Lain