suria

Menteri Khuatir Olimpik London Di Ancam Sindiket Judi

LONDON: Judi dan permainan yang diatur adalah antara ancaman yang dikenalpasti mampu mencemarkan nama baik dan integriti Olimpik London yang akan berlangsung tahun ini.

Menteri Sukan Olimpik Britain, Hugh Roberson memberitahu akhbar The Sunday Times, beliau khuatir rangkaian perjudian Asia sebagai dalang.

Dalam temuramah bersama akhbar tersebut, Robertson berkata, pada pandangannya, perjudian dan atur permainan akan mengambil alih tempat penggunaan bahan atau dadah terlarang dalam sukan khususnya Sukan Olimpik.

"Kita tidak boleh memperkecilkan kesan atau ancaman yang mampu dilakukan oleh sindiket ini ke atas reputasi Sukan Olimpik kerana pada saat para penonton merasakan apa yang sedang mereka saksikan di atas padang bukanlah pesaing yang tulin, mereka tidak akan datang menyaksikan temasya ini lagi," katanya.

Pada saat itu, kata Robertson segala-galanya akan runtuh dengan sendirinya.

Tegas beliau lagi, kekurangan peraturan yang mengawal aktiviti dan sindiket perjudian haram di Asia khusunya di benua kecil India dan Asia Timur adalah punca kepada berleluasanya ancaman ini kepada dunia sukan.

Robertson memberi contoh bagaimana skandal membeli permainan dalam sukan kriket yang akhirnya menyaksikan tiga pemain Pakistan dijatuhi hukuman penjara di Britain adalah saksi kepada semakin berleluasanya dan berpengaruhnya sindiket ini.

"Isunya di sini ialah bukannya tentang sindiket perjudian di dunia sebelah sini (Barat) tetapi ialah sindiket perjudian haram di benua kecil India dan beberapa bahagian dunia yang lain yang mana berjuta dolar bertukar tangan dalam sehari," katanya lagi.

Ancaman paling besar ialah menentukan keputusan perlawanan dan bukannya meneka keputusan perlawanan, ujar beliau.

"Akan tiba masanya nanti, pada tahun-tahun yang akan datang, kita akan menyaksikan pelbagai lagi bentuk perjudian haram dan skandal dalam dunia sukan. Saya cuma berharap ia tidak berlaku dalam Sukan Olimpik," kata Robertson.

Buat pertama kalinya dalam sejarah temasya Sukan Olimpik, sebuah pasukan khas dibentuk untuk menjejaki dan mematahkan sebarang percubaan untuk merasuahkan atlit bagi menentukan keputusan perlawanan.

Unit ini akan diketuai oleh Ibu Pejabat Polis Britain iaitu Scotland Yard dengan kerjasama Unit Kongsi Gelap untuk menjejaki aktiviti perjudian haram.

Artikel Berikut

Artikel Lain