suria

Gabenor Jakarta Janjikan Pendidikan Percuma 12 Tahun Mulai 2013

JAKARTA: Gabenor Jakarta Fauzi Bowo telah menjanjikan kepada penduduk ibu kota ini bahawa kerajaan tempatan akan memberikan pendidikan percuma 12 tahun kepada anak-anak mereka mulai tahun 2013.

Fauzi, yang akan menghadapi penilaian rakyat pada pilihan raya kerajaan tempatan pada 2012, berkata program pendidikan percuma itu diharap akan meningkatkan indeks pembangunan manusia di ibu kota itu.

"Kelak warga Jakarta akan paling kurang berkelulusan Sekolah Lanjutan Tingkat Atas (SLTA)," katanya dalam sidang akhbar akhir tahun di sini.

Kerajaan Indonesia pada masa ini menetapkan peraturan wajib belajar sembilan tahun kepada anak-anak hingga ke peringkat sekolah menengah rendah sahaja.

Fauzi berkata Belanjawan 2012 Kerajaan Tempatan Jakarta sahaja sudah mencukupi untuk membiayai program pendidikan percuma 12 tahun yang dirancangkan itu.

Gabenor Jakarta itu berkata bilangan penduduk miskin di ibu kota itu meningkat menjadi 363,000 orang berbanding 312,000 orang pada tahun lepas dan peningkatan itu didorong kenaikan harga bahan keperluan asas.

Penduduk Jakarta kini berjumlah 9.61 juta orang. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain