suria

Debu Gunung Berapi Alaska, Laluan Udara Pada Tahap Berjaga-Jaga

ANCHORAGE, ALASKA: Sebuah gunung berapi yang terletak jauh dari Kepulauan Aleutian Alaska telah meletus pada awal hari Khamis, memuntahkan asap tebal setinggi 15,000 kaki (4570 meter) ke langit dan menyebabkan lalu lintas udara pada tahap berjaga-jaga, kata saintis.

Gunung berapi Cleveland, yang terletak di sebuah pulau yang tidak didiami 940 batu (1,500 km) barat daya Anchorage telah mengalirkan lava dan gas sejak Julai.

Debu dari gunung berapi setinggi 5676 kaki (1730 meter) dianggap berbahaya kepada pesawat kerana puncak Cleveland terletak betul-betul di bawah laluan penerbangan komersil antara Asia dan Amerika Utara.

Letupan tambahan yang menghasilkan debu tebal yang lebih besar mungkin akan berlaku tanpa amaran, menurut kenyataan balai cerap.

Enjin pesawat akan terdedah dengan kerosakan dan akan gagal berfungsi secara serta-merta jika terperangkap dalam kepulan debu gunung berapi yang tebal ini.

Pesawat KLM terpaksa turun lebih dari 14,000 kaki secara tiba-tiba apabila ia terbang di atmosfera yang mempunyai debu akibat letusan Gunung Berapi Redoubt di barat Cook Inlet, pada tahun 1989. Pesawat mengalami kerosakan teruk dan mendarat di Anchorage.

Letupan pada Khamis yang dirakam oleh imej satelit, mungkin berpunca daripada pembentukan dan tekanan pada tahap rendah dan terputus-putus selama beberapa bulan, kata pakar geografi di Pusat Pencerap Volcano Alaska.

Letusan terakhir yang teruk di Cleveland ialah pada tahun 2001, apabila gunung berapi meledakkan tiga letupan, memuntahkan abu setinggi 39,000 kaki, menumpahkan aliran lava dari puncak kawah dan meleburkan batuan, menurut balai cerap. Cleveland juga meletus pada tahun 2009, tetapi dengan pelepasan debu yang kecil.

Gunung berapi ini merangkumi kira-kira separuh daripada Pulau Chuginadak yang tidak berpenghuni. Penempatan manusia terdekat adalah di Nikolski, sebuah perkampungan kecil yang terletak kira-kira 45 kilometer ke timur.

Walaupun Cleveland menjadi salah sebuah gunung daripada 90 gunung berapi paling aktif di Alaska, tiada peralatan seismik atau kamera digunakan untuk pemantauan berterusan kerana kedudukannya yang jauh.

Artikel Berikut

16 Terbunuh Kebakaran Di Myanmar

Artikel Lain