suria

Indonesia Beri Anugerah Kepada Tokoh Jayakan Transmigrasi

JAKARTA: Kerajaan Indonesia buat julung kalinya memberi penghargaan kepada tokoh-tokoh pemimpin yang banyak menyumbang kepada usaha transmigrasi termasuklah enam gabenor negeri dan enam pegawai daerah atau datuk bandar.

Anugerah Transmigrasi 2011, yang turut diberikan kepada seorang ahli akademik, seorang pelabur dan sebuah pertubuhan media massa, telah disampaikan oleh Menteri Penyelaras Kesejahteraan Rakyat Agung Laksono dalam satu acara di ibukota ini pada Rabu.

Pemimpin negeri yang menerima penghargaan itu ialah tiga orang gabenor dari negeri asal iaitu Ahmad Heryawan (Jawa Barat), Soekarwo, (Jawa Timur) dan Sri Sultan Hamengkubuwono X (Daerah Istimewa Yogyakarta) serta tiga orang gabenor dari negeri tujuan transmigrasi iaitu Cornelis (Kalimantan Barat), Alex Noerdin (Sumatera Selatan) dan Nur Alam (Sulawesi Tenggara).

Ahli akademik penerima anugerah itu ialah Ketua Institut Pertanian Bogor Prof Dr Sajogyo, yang telah menyumbang pemikiran terhadap pembangunan transmigrasi, menurut siaran berita Kementerian Tenaga Kerja dan Transmigrasi Indonesia.

Menteri Tenaga Kerja dan Transmigrasi Muhaimin Iskandar berkata dalam masa 60 tahun pelaksanaannya, program pembangunan transmigrasi telah memberi faedah kepada 2.2 juta ketua keluarga atau 8.8 juta orang miskin dan menganggur, yang dapat memperbaiki kehidupan masing-masing.

"Melalui transmigrasi telah dibangunkan dan dikembangkan ke 3,325 desa baru, antaranya 89 desa yang telah berkembang menjadi ibukota daerah," kata Muhaimin.

Artikel Lain