suria

Jawa Timur Bersiaga Hadapi Letusan Tiga Gunung Berapi

JAKARTA: Peningkatan status amaran untuk Gunung Ijen daripada waspada kepada siaga iaitu amaran tahap ketiga oleh pihak berkuasa baru-baru ini serta aktiviti volkanik yang semakin meningkat di Gunung Semeru dan Gunung Bromo, telah membuat pihak pentadbiran negeri Jawa Timur membuat persiapan awal menghadapi bencana letusan ketiga-tiga gunung berapi itu.

Badan Pengurusan Bencana Daerah (BPBD) Jawa Timur telah bersiap siaga menghadapi bencana itu terutamanya bagi melindungi masyarakat yang tinggal di kawasan sekitar.

Wilayah Gunung Ijen meliputi kawasan Banyuwangi, Bondowoso dan Situbondo, wilayah Gunung Semeru meliputi Lumajang, Probolinggo dan Malang manakala wilayah Gunung Bromo meliputi Probolinggo, Pasuruan, dan Malang.

Ketua BPBD Jawa Timur Siswanto berkata perhatian masyarakat kini bertumpu kepada Gunung Ijen manakala semua daerah di sekitarnya telah mendirikan pusat siaga bencana seperti di daerah Situbondo, Bondowoso dan Banyuwangi sebagai persediaan bila Gunung Ijen meletus.

Sungguhpun status Gunung Semeru dan Bromo masih di tahap waspada, perkembangan kedua-dua gunung berapi itu terus dipantau.

Pusat Volkanologi dan Mitigasi Bencana Geologi (PVMBG) Indonesia telah pada 18 Disember lalu meningkatkan tahap amaran untuk Gunung Ijen kepada Siaga, sekaligus menetapkan jarak selamat untuk aktiviti masyarakat ialah di luar lingkungan 1.5km dari gunung berapi itu.

Pada masa ini enam gunung berapi di seluruh Indonesia, termasuk Gunung Ijen, telah dinaikkan tahap amarannya menjadi siaga, iaitu tahap amaran ketiga atau kedua tertinggi sebelum tahap awas iaitu tahap amaran tertinggi bila gunung berapi menunjukkan tanda-tanda akan meletus pada bila-bila masa.

Lima gunung berapi lain yang berstatus siaga ialah Gunung Gamalama (Pulau Ternate, Maluku), Gunung Papandayan (Garut, Jawa Barat), Gunung Karangetang (Sulawesi Utara), Gunung Lokon (Sulawesi Utara) dan Gunung Anak Krakatau (Selat Sunda). - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain