suria

Banjir Akibatkan Beberapa Jalan Utama Di Indonesia Lumpuh

JAKARTA: Hujan lebat pada Hari Krismas yang berlarutan hingga semalam telah mengakibatkan kawasan penempatan dan jalan raya utama di beberapa negeri di Indonesia dinaiki air sehingga mengganggu pengguna jalan raya yang dalam perjalanan bercuti akhir tahun.

Kebanyakan kawasan berkenaan mengalami banjir setelah air sungai melimpah dan memaksa sebilangan penduduk berpindah sama ada ke pusat pemindahan atau menumpang di rumah saudara mara di kawasan yang lebih tinggi, media tempatan melaporkan Selasa.

Jalan utama yang terjejas oleh banjir semalam termasuk jalan raya pantai utara Kraton di Pasuruan, Jawa Timur yang melumpuhkan sepenuhnya lalu lintas di situ pada Ahad hingga awal pagi semalam.

Bagi mengatasi masalah itu, pihak berkuasa terpaksa mengalihkan lalu lintas ke jalan Pandaan-Purwosari-Pasuruan.

Sebanyak 2,515 rumah di tiga daerah di Jawa Timur iaitu Bangil, Pohjentrek dan Kraton dinaiki air kira-kira 0.75 meter.

Di Pontianak, Kalimantan Barat, air Sungai Kapuas yang melimpah menyebabkan jalan-jalan utama di ibu negeri itu serta beberapa kawasan penempatan dinaiki air sehingga 0.5 meter dan memaksa sebilangan penduduk dipindahkan.

Sementara itu ratusan rumah di empat buah kampung di daerah Cirebon, Jawa Barat, turut dinaiki air hingga 0.5 meter hingga menyebabkan penghuni dipindahkan ke khemah-khemah yang dijadikan pusat pemindahan banjir.

Di daerah Bandung, Jawa Barat pula, 620 buah rumah di beberapa kawasan penempatan dinaiki air lebih 0.5 meter setelah air Sungai Citarum melimpah dan menyebabkan 1,000 penduduk dipindahkan ke bangunan sekolah, rumah ibadat dan khemah sementara.

Di daerah Kampar, Riau, Sumatera, banjir kilat yang berlaku semalam akibat melimpahnya air Sungai Sebayang, telah menyebabkan sekurang-kurangnya 500 buah rumah dinaiki air sehingga satu meter.

Kawasan yang terjejas banjir itu termasuklah empat buah kampung iaitu Domo, Padang Sawa, Teluk Paman Timur dan Kuntu dan kebanyakan penduduknya telah dipindahkan.

Riau, yang terletak di bahagian Timur Sumatera Barat mengalami hujan lebat sejak seminggu lepas.

Sabtu lepas, Pekanbaru iaitu ibu negeri Riau dinaiki air lebih 0.5 meter. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain