suria

Habibie Di Riyadh Untuk Rayu Pembebasan Warga Indonesia Daripada Hukuman Mati

JAKARTA: Bekas Presiden Indonesia Bacharuddin Jusuf Habibie kini berada di Riyadh, Arab Saudi dalam usaha merayu pembebasan seorang wanita warganegara Indonesia yang kini menunggu pelaksanaan hukuman mati kerana kesalahan membunuh majikannya.

Ketua Badan Nasional Penempatan dan Perlindungan Tenaga Kerja Indonesia (BNP2TKI) Jumhur Hidayat berkata Habibie dijadual bertemu Putera Al Walid Bin Talal Al Saud malam Ahad bagi membincangkan usaha itu.

Beliau berkata pada pertemuan itu, Habibie akan diiringi anggota Pasukan Petugas Penanganan Warganegara Indonesia dan Tenaga Kerja Indonesia Yang Terancam Hukuman Mati di Luar Negeri.

"Pertemuan khusus Pak Habibie dengan Putera Al Walid Bin Talal Al Saud ialah untuk membincangkan upaya pembebasan Tuti Tursilawati, tenaga kerja Indonesia yang berasal dari Desa Cikeusik, Jawa Barat, yang sedang menghadapi pelaksanaan hukuman mati di Arab Saudi," kata Jumhur dalam kenyataan pada Ahad.

Katanya Putera Al Walid yang mempunyai pengaruh sangat besar dalam kerajaan dan masyarakat Arab Saudi, akan diminta membantu usaha menyelamatkan Tuti daripada hukuman mati dengan cara melobi pihak keluarga mangsa agar memaafkan Tuti.

Jumhur berkata permintaan agar Habibie turut dilibatkan dalam usaha membebaskan Tuti dibuat pasukan petugas yang telah dibentuk oleh Presiden Susilo Bambang Yudhoyono.

"Para peguam dan sejumlah tokoh di Arab Saudi telah mengusulkan agar Habibie dilibatkan dalam usaha itu kerana beliau dilihat mempunyai pengaruh antarabangsa sebagai cendekiawan muslim bertaraf dunia, khususnya dalam kalangan kerajaan serta tokoh usahawan Arab Saudi".

Tuti yang dihantar ke Arab Saudi pada 5 September, 2009 untuk bekerja sebagai pembantu rumah di keluarga Suud Malhaq Al Utaibi, di Kota Thaif, Arab Saudi, didapati membunuh majikannya itu pada 11 Mei, 2010 dengan cara memukul kepalanya dengan sebatang kayu kerana dikatakan tidak tahan dengan gangguan seksual terhadapnya.

Wanita itu yang ditangkap pihak berkuasa Arab Saudi telah mengakui semua kesalahannya dan mahkamah telah menjatuhkan hukuman mati terhadapnya namun beliau berpeluang dibebaskan daripada hukuman itu jika mendapat pemaafan daripada keluarga mangsa.

"Sehingga ini keluarga mangsa belum dapat memaafkan pelaku dan menolak digantikan dengan pembayaran denda dalam bentuk diyat," kata Jumhur.

Katanya keluarga mangsa telahpun memohon kepada pihak mahkamah Arab Saudi agar melaksanakan hukuman mati (qishash) terhadap Tuti selepas musim haji baru-baru ini namun sebelum hukuman itu dilaksanakan, Indonesia akan terus berusaha agar keluarga mangsa dapat memberi kemaafan dan membebaskan Tuti.

Susilo turut mengutus surat kepada Raja Abdullah Bin Abdul Aziz Al Saud pada 6 Okt lalu meminta penundaan hukuman pancung terhadap Tuti selain memohon Raja Abdullah membantu dalam usaha mendapatkan kemaafan daripada keluarga mangsa untuk Tuti. - BERNAMA

Artikel Lain