suria

Syarikat Implan Perancis Berdepan Saman Di Amerika Syarikat

NEW YORK: Syarikat pengeluar implan Perancis, Poly Implant Prothese (PIP) berdepan dengan saman yang difailkan oleh pihak kerajaan Amerika Syarikat (AS) di negara tersebut yang menjadi lokasi penjualan implan berkenaan sehingga tahun 2000.

Berpuluh-puluh ribu wanita di serata dunia menggunakan implan tersebut yang diperbuat daripada gel silikon industri sedangkan ia sepatutnya diisi dengan silikon berkualiti perubatan.

Kementerian Kesihatan Perancis pada minggu lalu menasihatkan 30,000 wanita negara itu untuk mengeluarkan implan terbabit kerana meskipun tiada bukti kukuh menunjukkan ia berisiko menyebabkan kanser, implan itu masih boleh membahayakan kesihatan pemakainya.

Di AS, implan tersebut dijual menerusi Heritage Worldwide sehingga bulan Mei 2000 apabila Pentadbiran Makanan dn Ubat-Ubatan (USFDA) melancarkan kempen pengantunggan terhadap implan silikon.

Pada masa itu, pasaran AS menganggarkan 40 peratus daripada hasil yang diperoleh oleh Heritage Worldwide adalah sebanyak US$4 juta (RM12 juta), berdasarkan dokumen korporat yang difailkan di Suruhanjaya Sekuriti dan Bursa AS.

Syarikat implan itu turut melaporkan kerugian dalam beberapa tahun bermula tahun 2007 ekoran aduan daripada pengguna dan pengedar.

Antara tahun 1996 dan 2009, PIP menjadi sasaran berpuluh-puluh saman sivil di AS yang dimulakan bukan sahaja oleh wanita yang menggunakan produk syarikat itu, tetapi juga daripada rakan kongsinya atas dakwaan melanggar perjanjian atau gagal membuat pembayaran.

Berdasarkan rekod, syarikat itu juga menghadapi saman daripada lima wanita daripada keluarga Kwartin untuk tiga tahun yang berbeza, iaitu Oktober 1999, Jun 2000 dan Julai 2003.

Saman tersebut difailkan terhadap pengasas dan anggota PIP, Jean-Claude Mas.

Plaintif mendakwa, mereka adalah pemegang saham dan pengedar PIP di AS dan menuntut ganti rugi yang tidak dinyatakan daripada PIP dan pemegang saham yang lain yang berpunca daripada ‘pelbagai dakwaan melibatkan perbuatan salah’.

Semua saman tersebut kemudiannya disatukan sebagai satu tindakan pada tahun 2005.

Berpuluh-puluh lagi wanita turut mengambil tindakan undang-undang terhadap PIP bermula pada tahun 2003 termasuklah di Illionois dan Texas atas alasan syarikat terbabit ‘perlu bertanggungjawab atas produk mereka’.

Bagaimanapun, pada tahun 2009 tiada tarikh perbicaraan ditetapkan dan saman tersebut kebanyakannya digugurkan.

Aduan yang dibuat pula menyatakan barangan tersebut tidak sesuai dengan tujuan pembuatannya dan melanggar peraturan pengguna.

PIP merupakan pengeluar implan ketiga terbesar di dunia. - AFP

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain