suria

Korea Utara Seru Rakyat Pertahankan Kim Jong-Un Ke Titisan Darah Terakhir

SEOUL: Korea Utara menyambut kedatangan tahun baru dengan menyeru warganya supaya mempertahankan pemimpin baru Kim Jong-Un sehingga ke titisan darah yang terakhir.

Negara komunis tersebut juga menyeru warganya supaya terus bekerja keras untuk tahun yang lebih makmur, demikian menurut kenyataan rasmi negara yang dikeluarkan pada seluruh media massa negara itu.

"Seluruh parti, seluruh angkatan tentera, seluruh rakyat perlu memiliki kepercayaan dan keyakinan bahawa mereka mampu menjadi benteng yang mempertahankan pemimpin kita, Kim Jong-Un sehingga ke titisan darah yang terakhir di samping mematuhi perjuangan parti selama-lamanya," ujar kenyataan itu lagi.

Jong-Un, telah diisytiharkan sebagai penganti kepada pemimpin agung, iaitu ayahnya, Kim Jong-Il yang meninggal dunia pada 17 Disember lalu.

Pada Sabtu, iaitu hari terakhir bagi 2011, Korea Utara mengumumkan bahawa Jong-Un dengan rasminya telah dilantik sebagai Komander Tertinggi kepada 1.2 juta bala tentera negara itu iaitu pasukan tentera yang keempat terbesar di dunia.

Presiden Hu Jintao, dari Republik Rakyat China yang merupakan sekutu terkuat Korea Utara menjadi pemimpin pertama yang mengirim ucapan tahniah kepada Jong-Un.

Editorial akhbar Parti Komunis Korea Utara, Rodong Sinmun turut menyiarkan kenyataan menyeru Amerika Syarikat agar tidak melancarkan sebarang provokasi ke atas negara tersebut pada saat-saat mereka sedang melalui proses transisi kepimpinan.

Malah akhbar itu meminta Amerika dengan segera membawa pulang 28,500 anggota tenteranya yang ditempatkan di sempadan Korea Selatan sebagai langkah menghormati Korea Utara.

Menjelang 15 April depan, Korea Utara akan menyambut ulang tahun yang ke-100 kelahiran bekas pemimpin agung Kim Il-Sung, yang merupakan datuk kepada Jong-Un.

Jong-Un merupakan generasi ketiga dari 'Dinasti Kim" yang memerintah Korea Utara di era moden.

Artikel Berikut

Artikel Lain