suria

Alec Baldwin Diarah Turun Dari Pesawat

LOS ANGELES: Pelakon Amerika Syarikat (AS) Alex Baldwin pada Rabu, memohon maaf kepada penumpang selepas dia dihalau keluar daripada pesawat yang dinaikinya setelah dikatakan ‘berkelakuan sangat biadap’.

Bagaimanapun, dalam masa yang sama Baldwin turut mengutuk perkhidmatan yang ditawarkan oleh Syarikat Penerbangan AS sejak kejadian 9/11.

Bintang sitkom 30 Rock juga menegaskan bahawa dia dihalau secara tidak adil oleh kakitangan syarikat penerbangan tersebut yang digelarnya sebagai ‘guru gim tahun 1950’ yang memintanya untuk mematikan telefon bimbit sebelum pesawat berlepas.

Dalam beberapa kenyataan di akuan Twitternya, Baldwin mengatakan bahawa dia sebenarnya sedang bermain permainan popular di telefon pintar semasa kejadian di Lapangan Terbang di sini berlaku pada Rabu.

“Kakitangan tersebut berbuat demikian kerana saya sedang bermain permainan WORDS W FRIENDS semasa kami sedang duduk dan pesawat juga belum bergerak,” kata Baldwin di Twitternya.

Dalam kenyataan yang dikeluarkan oleh syarikat penerbangan itu pula, mereka mendakwa Baldwin tidak mengendahkan permintaan untuk mematikan telefon bimbit sebelum menuju ke tandas dan menghempaskan pintu.

Merujuk kepada peraturan bahawa semua telefon bimbit dan alatan elektronik harus dimatikan apabila pintu pesawat ditutup dan amaran tali pinggang keledar dipasang, syarikat tersebut berkata:

“Penumpang tersebut enggan mematikan telefon bimbitnya selepas diminta berbuat demikian.

“Penumpang itu akhirnya berdiri (dalam keadaan amaran memasang tali pinggan keledar dipasang untuk perlepasan) dan membawa telefon bimbitnya ke tandas pesawat.

“Penumpang tersebut juga sangat biadap kepada kakitangan syarikat dan memanggil mereka dengan nama yang tidak sepatutnya serta menggunakan perkataan yang kasar.

“Atas alasan-alasan yang dinyatakan, penumpang terbabit dikeluarkan daripada pesawat dan tidak dibenarkan berlepas.”

Di dalam akaun Twitternya, Baldwin kemudiannya memohon maaf kepada semua penumpang pesawat itu dan menambah bahawa dia tidak berniat mahu menyusahkan sesiapa dalam masalah yang dihadapinya dengan kakitangan pesawat tersebut.

Baldwin menambah, dia telah menggunakan perkhidmatan pengangkutan udara selama 20 tahun dan sentiasa bekerjasama dengan mereka, tetapi kecewa apabila pesawat yang sepatutnya dinaikinya ditangguhkan masa pelepasan sebelum dia diarahkan untuk mematikan telefon bimbit. - AFP

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain