suria

Lebah India Tertarik Dengan Kopi Berbanding Bunga

CHENNAI: Kisah ini adalah satu kisah yang unik iaitu bagaimana sekumpulan lebah di sini bersaing untuk mendapatkan cawan kopi berbanding bunga-bungga di bandar raya Madurai di Selatan India.

Ini telah mendorong ahli sains memikirkan tentang tabiat baru lebah India.

Dalam satu penemuan yang menakjubkan ini, ahli ekologi India mendapati lebah lebih menyukai kedai kopi gaya moden, daripada menghisap titisan madu dalam bunga-bungaan untuk memenuhi keperluan gula biasa mereka.

Pakar di Madurai Kamaraj University School of Biological Sciences, mendapati tabiat baru lebah itu di kawasan bandar dan separa bandar, iaitu kawasan yang menggunakan dengan meluas cawan kopi pakai buang.

Lebah, menurut kajian mereka, ketagih kepada cawan kopi, yang mengandungi saki baki gula lebih tinggi.

Namun begitu, mereka memberi amaran bahawa perubahan dalam tabiat lebah itu bukanlah satu trend yang sihat memandangkan ia boleh membawa ancaman kepada jaminan makanan.

"Lebah tidak melakukan pendebungaan dengan secukupnya, serangga ini kerap kali pergi ke kedai kopi, jadi jaminan makanan kini menjadi tanda tanya.

"Kira-kira 80 peratus pendebungaan dilakukan oleh lebah. Ini adalah impak negatif terhadap pertanian," kata ahli ekologi Dr S. Chandrasekaran kepada Bernama.

Peranan semula jadi lebah sangat penting kerana serangga ini mendebungakan sebahagian besar tanaman pertanian.

Pasukan tujuh anggota itu yang mengkaji tabiat lebah selama dua tahun turut mendapati bahawa dalam tempoh lebih 30 hari, hampir 25,000 lebah dibunuh dalam kedai kopi atau jus, oleh pelanggan atau pekerja.

Ini mungkin menjejaskan kewujudan serangga ini, atau apa yang dibimbangkan ahli sains bahawa ia boleh membawa kepada kemusnahan koloni lebah dalam jangka panjang.

Artikel Lain